Sekumpulan arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang menjalankan kerja-kerja ekskavasi di Gua Bewah, Tasik Kenyir sejak tiga bulan lepas, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.
Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (ATMA), UKM, Prof Datuk Dr Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata rangka manusia zaman Mesolitik yang dipercayai remaja itu dianggar berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.
"Rangka pra sejarah itu ditemui pada kedalaman 65cm hingga 70cm yang disemadikan dalam keadaan merengkok dan kita telah menghantar sampel DNA (asid deoksiribonukleik) ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.
"Keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan depan," katanya kepada pemberita selepas Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan media melawat ke gua berkenaan di sini.
Nik Hasan Shuhaimi berkata penemuan rangka manusia pra sejarah ini adalah kali kedua di Tasik Kenyir selepas kali pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan, Tasik Kenyit pada 1975.
Beliau yang mengetuai kerja-kerja ekskavasi bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu Mohd Yusof Abdullah dan 33 anggota cari gali lain berkata ia adalah penemuan penting sejarah ketamadunan manusia di Malaysia.
Selain rangka manusia turut dijumpai di gua berkenaan adalah serpihan tembikar tanah yang dipercayai dari zaman Neolitik, katanya.
"Di antara serpihan tembikar itu terdapat serpihan yang tertulis corak seakan-akan tulisan lukisan batu yang pernah ditemui oleh pengkaji-pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik yang lain di seluruh Malaysia," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha cari gali bagi mencari artifak-artifak bersejarah lain di negeri ini.
Ahmad berkata artifak yang ditemui di Gua Bewah tidak akan ditempatkan di muzium, sebaliknya dikekalkan dan diletakkan dalam bingkai kaca untuk tatapan pengunjung.
xSAM Chat
Sunday, February 7, 2010
Rangka Manusia Zaman Mesolitik Ditemui Di Gua Bewah, Terengganu
Posted by MeLPenang at 12:27:00 AM
Labels: Tempatan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment