xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Friday, February 19, 2010

Dubai yakin Mossad terlibat

DUBAI - Polis Dubai semalam menuduh agensi perisikan Israel, Mossad mengatur pasukan yang membunuh seorang komander Hamas, Mahmoud al-Mabhouh di sebuah hotel mewah di sini pada 19 Januari lalu.

(RAKAMAN kamera litar tertutup yang disiarkan pada Isnin lalu menunjukkan tiga orang disyaki pembunuh Mahmoud berada di sebuah hotel di Dubai.)

Ketua Polis Dubai, Leftenan Jeneral Dahi Khalfan Tamim menyatakan dia berasa 99 peratus yakin bahawa Mossad menjadi dalang dalam pembunuhan Mahmoud.

Mahmoud ditemui di bilik hotelnya dan dipercayai mati akibat kelemasan.

Kenyataan itu yang dikeluarkan semasa tekanan terhadap Israel meningkat bagi menjelaskan kemungkinan ia terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Siasatan turut diperluaskan ke Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyatakan pembunuh-pembunuh itu menggunakan pasport palsu dan kad kredit melalui bank-bank yang berpangkalan di AS.

"Siasatan kami mendapati Mossad terlibat dalam pembunuhan Mahmoud," kata Dahi yang dipetik sebagai berkata oleh akhbar The National.

Beliau memberitahu sebuah lagi akhbat Gulf News bahawa: "Semua elemen menunjukkan penglibatan Mossad."

Sementara itu, kerajaan Britain dan Ireland memanggil duta Israel semalam untuk berbincang mengenai pasport palsu yang digunakan oleh anggota-anggota pasukan pembunuh itu.

Menurut seorang pegawai UAE, jumlah suspek pembunuh itu ialah 18 orang termasuk dua wanita.

Identiti sepuluh dan seorang wanita yang terlibat dalam pembunuhan itu menggunakan pasport palsu.

Setiausaha Luar Britain, David Miliband menyatakan kebimbangannya mengenai pemegang pasport palsu Britain yang digunakan oleh pembunuh dari Israel.

Keadaan itu berlaku kerana pasport palsu yang digunakan oleh pembunuh itu didapati mempunyai alamat tempat tinggal di Israel.

"Kami menjelaskan bahawa kami mahu memberikan peluang kepada Israel berkongsi dengan kami apakah yang diketahui berhubung kejadian itu dan kita berharap ia akan bekerjasama sepenuhnya," kata Miliband.

Duta Israel ke Ireland, Zion Evrony menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai kejadian pembunuhan di Dubai itu.

Kes itu menjadi lebih menarik kerana dua penduduk Palestin yang ditahan di Dubai dan lima orang lagi dikaitkan dengan pembunuhan tersebut.

Sumber-sumber Hamas mendakwa anggota-anggota pentadbiran Presiden Palestin, Mahmoud Abbas membantu Israel membunuh komander itu.

Agensi Mossad sebelum ini didakwa mencuri identiti orang lain.

Pada 2005, dua rakyat Israel dipenjarakan di New Zealand kerana didapati cuba untuk mendapatkan pasport negara tersebut.

Namun dalam kes ini, Mossad buat pertama kalinya disyaki menggunakan identiti penduduknya sendiri dalam kes pembunuhan Mahmoud. - Agensi

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails