xSAM Chat
Wednesday, February 24, 2010
Kalau Malaysia bangga dengan pesawat tanpa enjin, Israel lagi hebat dengan pesawat tanpa juruterbangnya
ANGGOTA tentera Israel melihat dari dekat pesawat Heron TP atau IAl Eitan dalam bahasa Hebrew, yang dipamerkan di Pangkalan Tentera Udara Tel Nof
TEL AVIV 22 Feb. - Tentera udara Israel semalam memperkenalkan sejumlah pesawat tanpa juruterbang terbaru yang mampu berada di udara selama sehari dan boleh terbang sehingga ke Teluk Parsi, sekali gus meletakkan musuhnya Iran dalam jangkauan sasaran.
Pesawat senyap Heron TP itu mempunyai sayap berukuran 26 meter yang menyamai saiz pesawat penumpang Boeing 737 dan merupakan pesawat tanpa juruterbang terbesar dalam angkatan tentera Israel.
Pesawat berkenaan boleh terbang berterusan untuk sekurang-kurangnya selama 20 jam dan tujuan utamanya ialah untuk melakukan kerja pengawasan.
Dalam satu majlis pelancarannya di Pangkalan Tentera Udara Tel Nof dekat sini semalam, pesawat berkenaan kelihatan begitu besar berbanding pesawat pejuang F-15 yang diletak berdekatan.
Heron TP yang kelihatan mirip Heron iaitu pesawat tanpa juruterbang sebelum ini juga milik Israel tetapi yang mampu terbang lebih tinggi mencapai ketinggian 12,000 meter dan boleh berada lebih lama di udara.
''Dengan pelancaran Heron TP ini, kita merealisasikan mimpi tentera udara,'' kata Brigedier Jeneral Amikan Norkin selaku Komander pangkalan tentera tersebut.
Tentera Israel enggan mendedahkan jumlah pesawat tersebut atau sama ada ia dibina untuk digunakan terhadap Iran tetapi menekankan ia boleh diubah suai untuk pelbagai tujuan.
Para pegawai tentera Israel juga menyatakan, Heron TP boleh menjadi alat yang amat berguna ke atas Iran.
Ia boleh digunakan untuk pengawasan, merosakkan sistem komunikasi musuh, menghubungkan pusat kawalan darat dan membantu pesawat udara lain.
Israel menganggap Iran sebagai ancaman disebabkan program nuklear negara tersebut, di samping pemilikan peluru berpandu jarak jauh dan kenyataan para pemimpin Iran untuk menghapuskan Israel.
Rejim Yahudi itu telah menyatakan kemungkinan menyerang Iran jika tekanan antarabangsa tidak dapat menghentikan program nuklear negara tersebut.
Israel dan Amerika Syarikat yakin Iran sedang cuba membina senjata nukleur, walaupun negara tersebut telah berulang kali menyatakan bahawa program nukleurnya adalah untuk tujuan keamanan.
Dalam beberapa konflik sebelum ini, pesawat tanpa juruterbang didapati kurang berkesan apabila pihak lawan mempunyai senjata anti-pesawat yang lebih canggih.
Sebagai contoh, dalam perang di Serbia pada 1999, angkatan tentera negara itu dengan cepat menembak jatuh 42 pesawat seumpamanya yang menurunkan secara drastik keberkesanan kempen pengeboman Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Posted by MeLPenang at 7:15:00 AM
Labels: Dunia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment