xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Monday, February 8, 2010

Azwan 'Drag' Demi Manuskrip 'Selamat Jalan Dunia Pondan'

Azwan Ali berpakaian 'drag' ketika membuat persembahan di Johor Bharu minggu lalu.
SELEBRITI yang sudah bertaubat dan balik ke pangkal jalan, pengacara terkenal Azwan Hj Ali khabarnya sudah kembali ke dunia pondan yang pernah ditinggalkannya itu.

Itu antara laporan yang diterima meja hiburan mStar Online minggu lepas lewat beberapa keping gambar sensasi dan panas yang dikirimkan seorang pembaca akhbar dalam talian ini.

Kononnya, Azwan telah membuka persembahan malam itu yang dinamakan 'Majlis Eksklusif 'Adik-adik'' dengan berpakaian 'drag' (baju perempuan) dan membuat persembahan ala penyanyi Ziana Zain di hadapan 200 orang tetamu di ballroom Crystal Crown di Johor Baru.

Ketika diasak dengan beberapa pertanyaan berbangkit daripada isu di atas, Azwan langsung tidak menafikan penglibatannya dalam acara tersebut.

"Memang saya kembali menjadi pondan tetapi in-character dan persembahan saya sebagai Ziana Zain dengan lagu 'Syurga Di Hati Kita' telah dibayar sebanyak RM6 ribu.

"Saya tidak boleh menolak rezeki Allah dan satu ballroom itu tahu dan menerima karektor saya sebagai hiburan semata-mata," jelas Azwan ketika dihubungi mStar Online.

Azwan mengaku beliau berpakaian 'drag' sekadar ingin menghiburkan peminatnya
Tambahnya, pakej bayaran tersebut termasuk menjadi penghibur untuk 'Majlis eksklusif anjuran adik-adik (pondan) Johor Baru' yang turut dihadiri dramatis popular Rosnah Johari," kata bekas pengacara popular itu.

Menurut Azwan lagi, perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi isu kerana "'kepondanan' saya sebagai Ziana Zain hanya selama 10 minit dan saya kembali menjadi jantan secara 'live' di atas pentas".

Lebih istimewa, kata Azwan, projek yang bisa menjadi kontroversi ini sebenarnya adalah satu program awal bagi menyiapkan bahan-bahan untuk buku 'Selamat Jalan Dunia Pondan' (SJDP) yang sedang diusahakan sekarang.

Jelasnya lagi, apapun komen yang diterima, dia amat berterima kasih kepada 'adik-adik' Johor Baru yang memberikannya semangat untuk menyiapkan buku kontroversi ini dengan berkongsi 1001 cerita dunia pondan.

"Ketua mereka, yang bernama Jess, atau mendapat jolokan oleh saya sebagai 'Datin Normala Samsuddin berhalkum' begitu teruja kerana Azwan Ali berani mati menerbitkan buku eksklusif ini.

"Saya sedar penampilan pondan saya sebagai Ziana Zain akan terus dihentam oleh musuh-musuh saya yang akan mengait isu taubat saya di depan Kaabah. Jawapan saya mudah saja, Allah SWT lebih tahu niat hati saya...lagipun ada aku kisah," katanya dalam nada selamba.

Azwan turut melahirkan rasa kesyukuran kerana perbincangan pertama mengenai manuskrip buku itu berlangsung minggu lalu di mana Editor Kanan Karangkraf, Intan Zabidin telah berbincang selama hampir 4 jam pasal buku kontroversi tersebut.

Kata Azwan lagi, pertemuan itu berakhir dengan berita gembira iaitu pihak Karangkraf bersetuju untuk menerbitkan buku itu.

Antara salah satu syarat utama ialah buku ini akan dijual secara eksklusif dari tangan Azwan Ali saja, dan tidak akan terjual di mana-mana kedai buku.

"Antara kami telah bersetuju untuk mendekati kumpulan Media Prima khasnya TV3 bagi membantu usaha-usaha promosi jualan buku 'Selamat Jalan Dunia Pondan.'

"Saya berdoa ke hadrat Allah, segala usaha saya menemui jalan mudah dan saya berbesar hati dan berharap agar bos kumpulan Media Prima Datuk Farid Ridzuan akan sudi membantu, memudahkan promosi jualan buku ini.

"Saya juga berdoa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah teraju menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein boleh meluluskan buku kontroversi ini," jelas Azwan lagi.

Manuskrip buku 'SJDP' mengandungi 13 tajuk sensasi, mengambil angka bertuah dan keramat Azwan Ali iaiatu '13' dan kebetulan pula akan menyambut ulangtahunnya yang ke 44 tahun, 13 Februari ini.

Antara tajuk-tajuk panas yang terkandung di dalam buku ini ialah: Apa Sebenarnya (ala-ala lagu Fauziah Latiff), Akak Ziana dan 3 Siti, 'Adik-adik' Dunia Seni, Azwan Ali Vs Alam Pondan, Pot-pot (Tempat Lepak) Pondan, Pondan Vs Mak Esah, Pondan Durjana Vs Pondan Mulia, Pondan Berlaki Vs Anak Ikan, PA Ker? Vs PA Nyah, Mimpi Ngeri Azwan Ali, Lintasan Kaabah, Panggilan Maut dan Penutup Bicara (Selamat Jalan Dunia Pondan).

Azwan begitu teruja dengan penghasilan buku berani yang ditulisnya dari hati dan pengalaman dan pengamatan sendiri serta tinjauan yang dibuat dari masa ke semasa.

"Buku ini akan merungkai seribu satu kisah Azwan yang tidak pernah terakam di mana-mana akhbar, media atau TV. Niat saya untuk memberi kesedaran kepada setiap manusia samada pondan atau tidak.

"Terpulanglah kepada masyarakat untuk menilai. Buku ini juga dijangka dijual secepat mungkin pada Julai. Namun, pelancarannya akan dilakukan dengan majlis kesyukuran bersama majlis berbuka puasa bersama Anak-anak Yatim.

"Saya menyeru agar peminat saya mendoakan kejayaan buku ini terhasil menjadi realiti setelah dirancang begitu lama. Dengan termeteri usahasama bersama pihak penerbitan Karangkraf, secara tidak langsung ia penanda awal kejayaan buku ini," kata Azwan menutup bicara petang itu.

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails