SUARANYA yang lunak merdu ketika mendendangkan lagu-lagu cinta ditambah pula dengan kelincahannya di pentas membuatkan sesiapa sahaja akan terpegun.
Penyanyi kecil molek, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani membuka tirai tahun 2010 dengan mengadakan konsertnya sulungnya di Malaysia.
Konsert dengan judul Melodi Cinta itu bakal diadakan pada 29 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil.
Anak kelahiran Sumedang Jawa Barat itu ketika ditemui pemberita memberitahu dia memilih nama Melodi Cinta itu kerana sinonim dengan lagu-lagu nyanyiannya yang kebanyakannya bertemakan cinta.
"Lagu-lagu saya memang berkait dengan cinta, lagipun rasa sesuai dengan memilih judul Melodi Cinta untuk konsert tersebut," katanya selepas sidang media penganjuran konsert berkenaan di sini semalam.
Sebelum itu majlis menandatangani perjanjian antara Media Prima yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dengan Limaduabelas Cipta Karya yang diwakili Rossa.
Rangkaian televisyen TV3 dan TV9 dan radio Hot FM akan bertindak sebagai rakan media.
Menurut Rossa, dia akan menyanyikan kira-kira 18 buah lagu-lagunya yang popular.
Dia juga turut menjanjikan kelainan pada konsert sulungnya itu nanti dan apa yang pasti ia tidak akan sama dengan mana-mana persembahannya di Indonesia.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Hey Ladies itu, pemilihan lokasi konsertnya mengambil kira peminat-peminatnya yang terdiri dari pelbagai peringkat masyarakat.
"Saya tahu peminat saya bukan semuanya di kalangan orang-orang yang berada, lebih baik saya buat di stadium, pastinya tiket konsert itu lebih murah," katanya.
Dia yang teruja dengan persembahan terbesarnya di negara ini, turut mensasarkan 10,000 peminatnya yang bakal memenuhi setiap penjuru stadium tertutup tersebut.
Selain itu, dia juga kerap mengulangi bahawa konsert yang bakal berlangsung itu adalah rezeki daripada Allah kepadanya.
"Alhamdulillah, ini memang rezeki saya, saya bersyukur sangat," kata Rossa, 32.
Menurut ibu kepada Rizky Langit Ramadhan itu, antara penyanyi yang akan turut menghiburkan peminatnya ialah Aizat, Pasha Ungu dan ST-12 dengan diiringi 14 penari dan 30 anggota orkestra yang didatangkan khas dari Indonesia.
Apa yang menarik konsert itu akan mendapat sentuhan magis Yovie Widianto yang bertindak selaku pengarah muzik dan konduktor orkestra selain Pengarah Persembahan, Jay Soebiyakto.
Ketika ditanya mengenai Aizat, dia memberitahu sangat berminat dengan nyanyian dan suara pemenang Anugerah Juara Lagu ke-24 itu baru-baru ini. Terdahulu pada sidang media tersebut, Ahmad Farid memberitahu, konsert berkenaan tidak akan disiarkan secara langsung melalui televisyen tetapi mungkin dirakamkan sebelum ditayangkan kemudian.
Konsert Melodi Cinta menawarkan tiket-tiket dengan harga dari RM58, RM98, RM148, RM248, RM348. Bagi mendapat maklumat lebih lanjut mengenai penempahan tiket tersebut, peminat boleh terus ke talian +603 77115000 atau layari laman web www.axcess.com.my.
Penjualan tiket-tiket konsert itu akan dilancarkan pada 14 Februari ini. Peminat diminta menempah tiket lebih awal supaya tidak terlepas untuk bersama-sama Rossa.
0 comments:
Post a Comment