Penunjuk perasaan melaungkan kalimah ‘Allahuakbar’ dan ada melontarkan batu ke arah sebuah papan iklan yang memaparkan gambar gabenor Jakarta. Lebih 1,000 polis dikerah ke tempat berkenaan yang berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat, kata jurucakap dewan bandaraya, Cucu Kurnia.
“Kami tidak berniat untuk memindahkan makam itu, sebaliknya kami hanya mahu mengusir setinggan. Malah kerajaan tempatan mahu mengekalkan kubur terbabit,” kata Kurnia.
Dalam insiden kelmarin, penunjuk perasaan bersenjatakan parang, kayu dan bom petrol bertempur dengan pasukan keselamatan bandar raya dan polis pencegah rusuhan berhampiran pelabuhan di luar bandar raya terbabit. Polis menggunakan gas pemedih mata, peluru getah, meriam air dan belantan untuk memukul penunjuk perasaan.
Penunjuk perasaan membantah tindakan pegawai keselamatan bandar raya yang didakwa mereka cuba mengalih makam seorang ulama Arab, Habib Hasan bin Muhammad Al Hadad yang pernah membantu menyebarkan Islam di Jakarta Utara pada kurun ke-18.
Kubur berkenaan berada di tanah miliki syarikat pengendali pelabuhan Pelindo II. Kawasan terbabit turut menempatkan ramai setinggan.
Pertempuran menyebabkan kawasan pelabuhan kelihatan seperti zon perang dengan darah dan kaca pecah bertaburan di jalan manakala berpuluh kenderaan dibakar. Ia disifatkan rusuhan awam paling buruk di Jakarta sejak beberapa tahun lalu.
Jurucakap polis Jakarta, Kolonel Boy Rafli Amar berkata sebilangan mangsa yang cedera dilaporkan parah, termasuk seorang pegawai dengan tikaman di perut manakala yang lain tangannya dipotong.
Berikutan salah faham, penduduk tempatan menyerang pegawai keselamatan sehingga tercetusnya pertempuran selama beberapa jam itu.
Satu lagi pertempuran berlaku beberapa jam kemudian di luar hospital tempat mangsa dirawat membabitkan anggota polis dan penduduk.
Keadaan mula terkawal semula menjelang tengah malam tetapi penunjuk perasaan kelihatan masih berada di kawasan terbabit. – AP
0 comments:
Post a Comment