xSAM Chat
Monday, April 12, 2010
Cinta Rossa Baru Berputik
SETELAH hampir setahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, penyanyi popular Indonesia, Rossa mengakui menemui cinta baru dalam hidupnya.
Walaupun enggan mendedahkan status jejaka tersebut, penyanyi lagu Hey Ladies itu mengakui sedang melalui saat-saat bahagia sekarang.
"Ya, saya sedang dalam proses mengenali hati budi seseorang, dia seorang yang baik, ambil berat tentang saya dan anak-anak, dan juga seorang yang penyayang.
"Walaupun dia lebih tua dari saya dan bukan dari industri hiburan tetapi dia faham dan sentiasa beri sokongan kepada kerjaya saya sebagai penyanyi.
"Buat masa ini dia tidak mahu statusnya didedahkan dan kami juga belum putuskan apa-apa," ujarnya sambil tersenyum malu.
Ditanya tentang hubungan kekasih barunya itu dengan tiga orang anaknya, Rossa memberitahu bahawa anak-anaknya senang dan boleh menerima seadanya.
"Mereka sering berjumpa dan saya lihat anak-anak saya selesa dan senang dengannya. Dia jua menerima baik anak-anak saya," katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Melodi Cinta Rossa yang bakal berlangsung 29 Mei ini, di Stadium Putra, Bukit Jalil.
"Saya bersama Yovie Widianto dan Jay Subiyakto kini sedang berlatih di Indonesia manakala anak-anak permata pula akan berlatih bersama guru vokal, Syafinaz di sini.
"Saya pasti dengan sokongan pelbagai pihak, konsert ini bakal berlansung dengan jayanya," katanya yang sedang dalam proses latihan untuk konsert itu.
Konsert yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor itu turut melibatkan 20 kanak-kanak daripada kumpulan Tunas Budaya, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara dalam program Permata Negara.
Sementara itu, Rossa yang bakal mendendangkan hampir 20 buah lagu pada konsert tersebut mengundang Ungu, ST12 dan Aizat sebagai artis undangan.
"Saya kagum dengan suara Aizat, ketika dia membuat persembahan pada konsert Siti Nurhaliza beberapa tahun lalu, saya sudah terpikat dengan suaranya.
"Selain itu, saya bawa rakan-rakan artis dari Indonesia seperti Ungu dan ST12, pemuzik dan penari dari sana.
"Tapi ini tidak bererti saya tidak mempercayai pemuzik di Malaysia tetapi masa untuk berlatih lebih mudah sebab kami semua berada di satu tempat," jelasnya ketika ditanya tentang pemilihan pemuzik dan penari dari Indonesia.
Rossa yang menjanjikan kelainan pada konsert itu nanti memberitahu lokasi yang dipilih mengambil kira peminat-peminatnya yang terdiri dari pelbagai peringkat masyarakat.
"Saya tahu peminat saya bukan semuanya di kalangan orang-orang yang berada, lebih baik saya buat di stadium, pastinya tiket konsert itu lebih murah," katanya yang menyasarkan 10,000 peminatnya bakal memenuhi setiap penjuru stadium tertutup tersebut.
Posted by MeLPenang at 1:27:00 PM
Labels: Hiburan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment