KEDAH telah menerima kedatangan pendakwah Islam dari India dan Asia Barat antara abad 7 dan 8 Masihi yang mendominasi perdagangan di rantau ini. Ini kerana pada waktu yang sama, Kedah menguasai laluan perdagangan terbesar berpusat di Lembah Bujang.
Kegemilangan enterport Lembah Bujang dengan pentadbiran yang kukuh dan teratur menimbulkan saingan hebat dari pusat perdagangan lain menyebabkan Lembah Bujang atau dikenali juga sebagai Kartaha Negara diserang tiga kali oleh Dinasti Chowla dari India.
Begitupun kedatangan para pedagang Islam ini telah menyebabkan berlaku evolusi awal yang memantapkan pengembangan Islam di Kedah sehingga menenggelamkan pengaruh Hindu/Buddha yang bertapak di situ.
Demikian penjelasan oleh Pengarah Muzium Wilayah Utara Arkeoloji Lembah Bujang Encik Kamaruddin Zakaria.
Katanya, kepentingan Kedah atau Qalha pada waktu itu kepada lalu lintas perdagangan tidak dinafikan telah menjana kepada perkembangan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan penemuan batu bersurat Ibn Sirdan bertarikh 215 Hijrah bersamaan 821 Masihi yang ditemui di Tupah Merbok selain penemuan manik-manik kaca, porselin dan dinar dirham.
Fakta lain yang mengukuhkan sebaran Islam di Kedah lebih awal apabila Sultan Kedah ke-9 Maharaja Derbar Raja memelok Islam pada tahun 531 Hijrah bersamaan 1136 Masihi dan menukar gelaran kepada Sultan Mudzafar Shah seperti yang tercatat dalam buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah.
Keagungan Kesultanan Kedah waktu itu melebar dari Selatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) hingga ke sempadan Pulau Dua, Burma, termasuklah Satun, Yala dan Singgora (Songkla), katanya.
Sehubungan itu pusat pentadbiran Sultan Kedah selepas menerima Islam berpindah dari Sungai Emas Bukit Meriam ke Istana Pulau Tiga, Kota Siputih kemudian Kota Naga, Indera Kayangan dan Kota Setar.
Perpindahan kota pentadbiran adalah kerana pembukaan kota baru di samping memantapkan pusat pentadbiran lama dengan meninggalkan penggantinya di situ.
Jika dibandingkan dengan Melaka perlulah dikaji asal nama Melaka itu sendiri. Institusi Kerajaan Melayu Melaka dikatakan dimulakan oleh Parameswara dari Seri Wijaya pada tahun 1402 Masihi dan kesultanan bertahan selama 109 tahun apabila tewas dengan serangan Portugis pada tahun 1511.
Menurutnya kedatangan Parameswara pada tahun 1402 Masihi, Semenanjung Tanah Melayu ketika itu tidak kosong kerana telah sedia wujud lebih awal institusi kerajaan seperti di Lembah Sungai Johor, Gangga Negara di Perak, Langkasuka di Pattani, Terengganu dan Kerajaan Qalha di Kedah. Ekoran itu telah wujud imuniti manusia dan tamadunnya.
Oleh itu, katanya, Melaka terbina dengan sokongan kerajaan-kerajaan sekitar yang telah berlaku perkembangan Islam lebih awal daripadanya serentak dengan kedatangan Islam di Nusantara ini.
“Masyarakatnya ketika itu telah menerima Islam, inilah yang mencetuskan evolusi perkembangan Islam yang melihat sejarah awal perkembangan Islam yang tiada batas,” katanya.
Pendapat ini disokong Dato’ Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof yang mengatakan selain penemuan batu bersurat Ibn Sirdan telah ditemui satu batu nisan di Jalan Langgar kepunyaan Syeikh Abdul Qadir Ibn Shah Alirah.
Katanya, pada batu nisan itu jelas tertulis tarikh wafatnya pada 3 Rabiulawal tahun 291 Hijrah bersamaan 24 Mei 904 Masihi dan dari segi lojiknya Syeikh Abdul Qadir ini adalah pendakwah atau ulama yang mengembangkan syiar Islan sambil berdagang.
Kenyataan ini bersandarkan fakta geologi iaitu pendakwah dan pedagang Islam dari Asia Barat yang datang ke Timur akan singgah di Kedah dahulu sebelum ke Pasai (Aceh) bukan Melaka.
Katanya lagi, bukti kukuh yang mengatakan Kedah lebih awal menerima Islam daripada Melaka ialah apabila Maharaja Derba Raja memeluk Islam pada tahun 1136 Masihi oleh Syeikh Abdullah dari Yaman.
Di dalam buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ada disebut titah Sultan supaya dibangunkan sebuah mercu tanda yang Islam diterima oleh Sultan iaitu pemerintah. Tempat yang dipilih untuk pembinaan tugu atau batu bersurat itu ialah di puncak Gunung Jerai.
Lokasi tepatnya ialah di tempat yang dikenali sebagai Padang Tuk Syeikh tetapi malangnya sebelum pembinaan tugu tanda itu Syeikh Abdullah meninggal dunia di situ.
Menurut Dato’ Dr Wan Shamsudin lagi, sekitar Padang Tuk Syeikh itu terdapat sebuah telaga yang dikenali sebagai Telaga Tuk Syeikh yang tidak pernah kering airnya walaupun di musim kemarau.
0 comments:
Post a Comment