Padah menyiarkan gambar bogel diri sendiri bersama lelaki lain melakukan hubungan sejenis di laman web, seorang pengawal keselamatan dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hakim Azizah Mahamud menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap daripada enam tuduhan dihadapi Shahrom Mahadi, 45, yang mengaku salah atas semua tuduhan berkenaan. Hakim juga memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula semalam. Bapa kepada enam anak berusia antara setahun dan 21 tahun itu, pada mulanya mengaku tidak bersalah bagi semua tuduhan terhadapnya tetapi menukar pengakuannya selepas Azizah menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin.
Berikutan itu, Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noor menarik semula enam tuduhan utama terhadap tertuduh selepas dia memilih mengaku salah atas enam tuduhan pilihan.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat bahagian perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Perdana, Jalan Datuk Onn di sini, pada 27 Februari 2009.
Ketika menjatuhkan hukuman, Azizah berkata mahkamah berpendapat paparan gambar tertuduh selama tiga tahun di enam laman web berasingan sebelum ditahan polis.
“Mahkamah mendapati kamu mempunyai niat dan sengaja mewujudkan laman web yang memuatkan gambar kamu, untuk mendapatkan pelanggan dan ini akan menimbulkan perkara negatif terhadap remaja khususnya yang melayarinya.
“Paparan itu boleh ditonton umum terutamanya remaja dan memberikan kesan negatif kepada hubungan seks sama jenis serta boleh menyebabkan berlakunya kesalahan mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan iaitu hubungan sejenis.
“Diharap hukuman ini akan menginsafkan kamu dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama. Memandangkan kes ini memberikan kesan negatif kepada masyarakat jadi mahkamah memilih untuk menjatuhkan hukuman penjara,” katanya.
Sebaik hukuman dijatuhkan, Azizah turut menasihati tertuduh: “Masuk penjara nanti, insaflah diri kamu dan jangan pula merosak orang lain. Keluar penjara nanti buat kerja lain kerana umur kamu sudah 45 tahun dan sepatutnya kamu tidak melakukan kesalahan ini, ingatlah kamu punya anak dan isteri.”
Terdahulu Shahrom dalam rayuannya, memohon hukuman ringan kerana ia kesalahan pertamanya dan dia sudah kehilangan kerja sebagai pengurus di Pulai Spring Resort, Johor Bahru.
“Gaji saya kecil hanya RM750 sebulan, isteri saya sakit dan tidak bekerja. Jika saya masuk penjara kalau ada tekanan, isteri saya akan kembali sakit jiwa. Saya juga banyak menanggung hutang dan perlu membayar sewa rumah,” katanya.
Shahrom berkata, dia pernah dimasukkan ke Hospital Tampoi selama seminggu kerana mempunyai penyakit terlalu takut dan tekanan perasaan sehingga mahu membunuh diri dengan menelan pil apabila mengetahui polis akan menahannya.
Disoal Azizah, Shahrom berkata gambar itu mula dipaparkan pada 2006 dan dia sudah memadamkan laman web berkenaan pada 2009 selepas kesalahannya dikesan.
Shahrom berkata, dia tidak mendapat sebarang faedah daripada paparan gambar itu, namun mengakui ada individu menghubunginya untuk mengetahui mengenai hubungan sejenisnya.
0 comments:
Post a Comment