xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Friday, June 18, 2010

Hukum wanita keluar bekerja

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhSnJyGe7dHGHjH4pc5oQytQA1satsv5EV6imS_3OR3QwbiuryvPCVvIhjYuF_DB6FlasWB87wgT58hT6JEK3DGWhKX4VR_mvZMuM0RFTbwQ1C8-dFw-AHgcvoFslFQ3KtCvixvzHPL4Us/s320/23863.jpg


KADAR kemasukan pelajar wanita ke institusi pengajian tinggi (IPT) lebih tinggi berbanding pelajar wanita dengan nisbah 65:35 menjurus hampir di dalam semua bidang profesional, termasuk bidang yang dikaitkan dengan lelaki seperti kejuruteraan.

Justeru, apabila bilangan wanita berkelulusan tinggi bertambah, pastinya ia akan mempengaruhi jumlah wanita yang keluar bekerja. Isunya, hukum wanita bekerjaya dengan bekerja di luar rumah sering menjadi pertikaian sehingga timbul tiga pendapat iaitu menghalalkan wanita bekerjaya secara mutlak, mengharamkan wanita bekerjaya secara mutlak kecuali darurat atau mengambil sikap pertengahan

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Anisah Ab Ghani, berkata pendapat pertama bersepakat mengatakan bahawa menghalang wanita bekerja umpama mensia-siakan tenaga wanita. “Membiarkan wanita tanpa kerja satu kezaliman kerana mereka juga perlu menyumbang tenaga membangunkan masyarakat, malah menyekat wanita bekerjaya tidak seiring dengan peredaran dan tuntutan semasa. “Realitinya, kehidupan semasa menuntut wanita bekerja sesuai kemampuan serta minat mereka,” katanya pada Seminar Wanita, Keluarga dan Kerjaya anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), di ibu negara, baru-baru ini. 


Pandangan kumpulan yang mengeluarkan pendapat mengharamkan wanita bekerja secara mutlak kecuali darurat berpegang kepada nas yang mengatakan bahawa tanggungjawab keluarga adalah kewajipan suami. Prof Madya Dr Anisah Ab Ghani berkata, pendapat itu disokong hukum yang mengaitkan wanita bekerja di luar rumah bertentangan fitrah, mengabaikan suami dan anak-anak, menafikan fungsi utama wanita membentuk generasi malah menjadi pemangkin kepada kemusnahan institusi keluarga.

Bagaimanapun, menurut Anisah, pandangan yang membenarkan wanita bekerja merujuk kepada ayat Quran mewajibkan wanita bekerja di dalam bidang yang mampu dilakukannya dengan ehsan, sama seperti lelaki. “Sama seperti lelaki, Islam mengiktiraf usaha dilakukan wanita dan dia berhak memiliki hasilnya seperti dinikmati lelaki. Ulama khilaf mengenai hukum wanita bekerja, jadi kita memilih pendapat yang mengharuskan,” katanya. Syarat untuk membenarkan wanita bekerja adalah pekerjaan yang dilakukan haruslah dihalalkan syarak. Namun begitu, ada pekerjaan halal bagi lelaki tapi tidak bagi wanita contohnya menjadi penari. Pekerjaan itu juga tidak harus menafikan fungsi utama wanita sebagai isteri serta ibu dan sekiranya pekerjaan itu bertentangan dengan fungsinya, ia tidak halal bagi wanita itu.


Wanita yang keluar bekerja juga mestilah beriltizam dengan adab Islam antaranya berpakaian menurut kehendak syarie, adab bergerak, adab bercakap dan tidak bertabarruj (mendedahkan atau berhias melampau). Kata Anisah, isteri Rasulullah SAW, Zainab binti Jahsyin menyamak kulit, mengeringkan dan menjualnya, kemudian bersedekah hasil jualan kepada fakir miskin (Zaujat at-Nabi 224,225). “Manakala, ayat dari surah Al-Tabarani ada menyebut mengenai Zaitah atau Rabitah, isteri Abdullah bin Mas’ud, seorang usahawan yang membiayai suami dan anak-anaknya,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden JIM, Prof Madya Dr Harlina Siraj, berkata fenomena wanita bekerja wujud kerana tenaga mereka diperlukan untuk pembangunan ummah, keperluan membantu ibu bapa, menyara kehidupan atau atas kehendak untuk membayar balik pinjaman pelajaran. “Wanita masa kini majoritinya adalah mereka yang bekerjaya jadi tidak dinafikan pembabitan dan peranan kaum Hawa membangunkan masyarakat serta negara adalah penting. “Islam juga tidak menghalang wanita melakukan pekerjaan di dalam rumah sekiranya ia dilakukan untuk keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara malahan Islam menganggap pekerjaan dilakukan lelaki atau wanita itu sebagai ibadah selagi dilakukan dengan niat ikhlas tanpa terkeluar daripada landasan dan peraturan syariat Islam,” katanya. Kata Dr Harlina, wanita bekerja perlu faham dan jelas matlamat mereka keluar bekerja kerana di dalam Islam, tugas utama wanita ialah menjaga kebajikan keluarga serta pembangunan jati diri setiap ahli keluarga terutama suami serta zuriat. “Tanggungjawab wanita yang bekerja sememangnya akan bertambah.

Mereka perlu bijak melunaskan tanggungjawab antara keluarga dan kerjaya supaya dapat melahirkan keluarga soleh. “Wanita yang gagal menyeimbangkan kedua perkara itu akan berdepan masalah sehingga memberi kesan kepada ahli keluarga terutama anak-anak dan saya percaya, keruntuhan akhlak dan masalah sosial berpunca daripada kekhilafan manusia mendidik manusia lain menjadi seorang insan,” katanya. Dr Harlina berpendapat, adalah wajar bagi seorang wanita menyiapkan diri dengan ilmu agama, pengurusan rumah tangga dan kerjaya, pengurusan tekanan dan juga kewangan. “Belajar kaedah komunikasi berkesan dengan suami kerana mereka adalah sokongan dan dokongan utama kepada seorang isteri, utamakan pendidikan anak-anak, urus masa dengan bijak, belajar perundangan keluarga dan dalami ilmu mengenai kesihatan diri serta keluarga,” katanya

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails