Tajaan itu merangkumi RM400,000 dari kerajaan Johor, RM300,000 dari syarikat pengeluar cat, Colourland Paints Sdn Bhd, dan RM300,000 bagi jersi dan peralatan sukan dari pengedar barangan sukan, Al-Ikhsan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Md Jais Sarday berkata perbelanjaan sebanyak RM3 juta dianggar diperlukan oleh persatuan itu untuk menampung pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini.
"Tajaan yang diterima hari ini masih tidak mencukupi kerana sekurang-kurangnya sejumlah RM3 juta diperlukan tahun ini," katanya berucap pada majlis makan tengah hari pengurusan PBNJ dan skuad Liga Super Johor bersama Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, di sini.
Md Jais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Johor berkata PBNJ mensasarkan skuad Johor berada di tangga kelima teratas tahun ini dan berkeyakinan terhadap barisan pemain baru.
Abdul Ghani dalam ucapannya pula berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk mewujudkan pasukan terbaik bola sepak di setiap daerah di negeri ini sebagai usaha memulih sukan berkenaan.
"Kita ada pakar dan aktivis sukan di setiap daerah. Pembangunan di dalam sukan bola sepak bukan sahaja sekadar memeriahkan sukan ini tetapi untuk membentuk pasukan elit," katanya.
Jurulatih, Nasir Yusof berkeyakinan sembilan pemain baru dari negeri lain bagi membarisi skuad Jengking mampu mempamerkan aksi cemerlang.
"Kita yakin mereka mampu mengisi kekosongan ditinggalkan pemain lama kerana masing-masing ada kelebihan sendiri," katanya
0 comments:
Post a Comment