xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Wednesday, January 27, 2010

Dua pegawai istana dakwa kenyataan tidak fitnah

http://t0.gstatic.com/images?q=tbn:xQEg73fQyrhZhM:http://www.detik.com/images/content/2009/04/20/10/manodalam.jpg


KUALA LUMPUR 26 Jan. - Dua pegawai istana Kelantan yang disaman oleh Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra mendakwa kenyataan akhbar yang dikeluarkan mereka berhubung masalah perkahwinan beliau dengan Manohara Odelia Pinot, tidak memfitnah Tengku Temenggong Kelantan itu.

Kedua-dua mereka yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu turut mendakwa Tengku Muhammad Fakhry selaku plaintif telah gagal memenuhi keperluan mandatori bagi memulakan tuntutan saman fitnah tersebut.

Pegawai Tadbir (Pentadbiran) Pejabat Sultan Kelantan, Nik Mahmud Nik Jaafar dan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad menyatakan demikian dalam afidavit sokongan terhadap permohonan mereka untuk membatalkan saman plaintif.

Permohonan tersebut difailkan melalui Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan di Mahkamah Tinggi di sini pada 18 November tahun lalu.

Permohonan defendan tersebut dijadualkan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd. Yusof pada 25 Mac ini.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Nazri Ismail ketika pengurusan kes berkenaan di hadapannya hari ini.

Dalam permohonan mereka, pihak defendan juga memohon supaya pernyataan tuntutan bertarikh 10 Ogos tahun lalu dibatalkan kerana ia tidak munasabah, mengaibkan, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Kedua-duanya mendakwa mereka tidak pernah mengadakan sidang akhbar dengan dihadiri wakil media cetak dan elektronik untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung plaintif.

Dakwa defendan lagi, mereka tidak pernah melafazkan sebarang perkataan palsu atau berniat jahat yang bersifat umpatan atau memfitnah plaintif yang telah diterbitkan semula dalam media elektronik.

Defendan disaman oleh plaintif ekoran satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mereka pada 15 Jun tahun lalu berhubung kemelut perkahwinan Tengku Muhammad Fakhry dengan Manohara yang juga seorang model dari Indonesia.

Plaintif mendakwa kenyataan yang ditandatangani oleh Abdul Halim itu menyatakan, Sultan Kelantan dan istana tidak seharusnya diheret ke dalam krisis perkahwinan yang membabitkan pasangan terbabit.

Defendan dalam pernyataan pembelaan bertarikh 11 September lalu mendakwa, kenyataan akhbar berhubung pertelingkahan antara Tengku Temenggong Kelantan dan isterinya yang dikeluarkan itu adalah suatu 'keistimewaan yang melayakkan'.

Mereka juga mendakwa sekadar bertindak mengikut tanggungjawab masing-masing dalam hal ehwal istana atas arahan Pemangku Raja Kelantan.

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails