TEHERAN - Sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) dilihat di angkasa ketika pihak berkuasa Iran mengadakan satu ujian peluru berpandu baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.
Klip video itu menunjukkan objek misteri tersebut memecut di ruang udaranya sebelum membelah awan ketika rakaman tertumpu pada peluru berpandu Iran sejurus selepas ia dilancarkan.
Rakaman itu menunjukkan UFO itu bertindak menjejaki peluru berpandu itu.
Iran melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat pada Sabtu lepas sekali gus membangkitkan kemarahan Barat dan Israel.
Satu laporan di Amerika Syarikat (AS) yang disiarkan rangkaian berita Fox News mendedahkan kehadiran UFO itu ketika peluru berpandu kedua dilancarkan.
Klip video itu menunjukkan peluru berpandu Shahab-3 melonjak ke udara.
Namun, selepas 38 saat segumpal awan berhampiran terbelah dua oleh sebuah objek terbang yang bergerak pada kelajuan tinggi.
Mengulas mengenai isu tersebut, seorang pakar UFO dari Britain, Nick Pope, menyifatkan insiden yang jarang berlaku itu sebagai satu fenomena menakjubkan.
Menurutnya, kelajuan objek misteri itu menunjukkan ia bukan pesawat buatan manusia.
"Namun, mungkin juga ia sebuah pesawat kawalan jauh milik Amerika Syarikat (AS). Sebelum ini, AS merahsiakan pembuatan pesawat prototaip daripada pengetahuan umum selama beberapa tahun," katanya. - Agensi
0 comments:
Post a Comment