xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Sunday, October 25, 2009

AJL24 bertanding tanpa kategori

Artis-artis yang layak ke separuh akhir Muzik-Muzik bergambar kenangan bersama penaja

SETELAH memperlihatkan carta baru dengan pencalonan lagu yang tidak memfokuskan lagi kepada tiga kategorinya iaitu Pop Rock, Balada dan Etnik Kreatif, peringkat separuh akhir Muzik-Muzik tahun ini juga akan terus dipertandingkan tanpa dibahagikan kepada tiga kategori tersebut.

Menurut Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria, pihak penerbitan merasakan keputusan tersebut wajar dilakukan setelah beberapa perbincangan dibuat.

"Sejak dulu, kami sentiasa terbuka dengan cadangan dan pendapat serta kehendak dalam industri muzik itu sendiri bagi meningkatkan lagi mutu program Muzik-Muzik.

"Sebab itulah Muzik-Muzik 24 tampil dengan format baru di mana pencalonan lagu lebih fleksibel dan ini bermakna lagu-lagu yang dicalonkan terbuka kepada semua kategori lagu, tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada penggiat-penggiat seni muzik supaya bebas berkarya dan hasil ciptaan mereka tidak terbatas kepada tiga kategori utama ini saja.

"Oleh itu, lagu-lagu yang bakal dicipta lebih luas genrenya dan ini sekaligus dapat mengembangkan lagi hasil seni ciptaan pengkarya tempatan.

"Kita tidak mahu penggiat seni muzik hanya bergantung kepada kategori untuk menentukan muzik mereka supaya lagu-lagu yang bakal dihasilkan tidak terbatas dan dengan ini industri akan lebih maju," kata Fadzliniza pada sidang media di Sri Pentas, kelmarin, sempena pengumuman 30 buah lagu yang berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24.

Lagu-lagu yang layak dipertandingkan untuk separuh akhir Muzik-Muzik dipilih melalui markah tertinggi yang diperolehi melalui undian yang dibuat setiap minggu dan berdasarkan tempoh kedudukan lagu tersebut di dalam carta mingguan Muzik-Muzik.

Sebanyak 112 lagu telah dicalonkan sepanjang tahun ini iaitu mulai 4 April hingga 17 Oktober 2009 dan 30 buah lagu akhirnya terpilih untuk dipertandingkan ke peringkat separuh akhir yang akan dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut undian.

Yuna turut tercalon dengan lagunya Dan Sebenarnya

Separuh akhir bahagian 1 (11 lagu) akan diadakan pada 6 November depan, bahagian 2 (11 lagu) akan berlangsung pada 13 November manakalan bahagian 3 (8 lagu) akan diadakan pada 20 November.

Empat belas buah lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) akan diumumkan sejurus selepas separuh akhir Muzik-Muzik bahagian 3 dipertandingkan dan pemilihan akan dibuat berdasarkan pemarkahan oleh juri profesional.

Mengulas lanjut tentang 112 buah lagu yang tercalon pada peringkat awal, kata Fadzliniza, jika diikutkan dari segi genre lagu, pop rock dan balada mempunyai bilangan lagu yang hampir sama.

"Tetapi tahun ini, Etnik Kreatif hanya mempunyai 10 buah lagu saja. Walaupun hanya ada 10 buah, kita tetap memilih yang terbaik. Dan apa yang boleh saya katakan, kualiti 10 buah lagu Etnik Kreatif ini memang amat mengecewakan.

"Kami tidak mahu tangkap muat dan masukkan semua lagu itu hanya kerana Etnik kreatif mempunyai sedikit saja lagu. Ia akan memalukan kami. Sewaktu kami masih wujudkan kategori ini, ada yang berhasrat buat lagu bergenre ini semata-mata untuk masuk Muzik-Muzik, tetapi malangnya ia tidak berkualiti.

"Sebab itu saya rasa lebih baik Muzik-Muzik kali ini dibuat secara terbuka dan semua lagu berlainan genre dapat bersaing sama," ujarnya.

Menurut Fadzliniza lagi, penyertaan lagu-lagu di dalam program ini juga menunjukkan penurunan pada tahun ini iaitu sebanyak 20 peratus.

"Penurunan ini mungkin juga disebabkan tidak ramai artis dan syarikat rakaman yang berani untuk laburkan wang bagi menghasilkan album penuh kerana keadaan pasaran album yang tidak memberangsangkan.

"Mereka lebih suka hasilkan single atau melalui aktiviti muat turun. Malah, saya juga tidak dapat nafikan, bukan semua 112 buah lagu tersebut benar-benar berkualiti.

"Dan 30 buah lagu yang terpilih itu adalah antara 112 lagu yang terbaik," katanya yang menambah, Muzik-Muzik tetap relevan dan tidak boleh ditamatkan sewenang-wenangnya.

Ujar Fadzliniza, meskipun kualiti kebanyakan lagu semakin kurang, dia merasakan pihak penerbitan tidak wajar mengetatkan syarat kriteria lagu-lagu yang ingin menyertai program ini kerana tidak mahu menyekat kreativiti komposer.

Malah, dia juga ingin membetulkan persepsi ramai yang merasakan Muzik-Muzik hanya untuk lagu-lagu Melayu.

"Sebenarnya, Muzik-Muzik terbuka kepada lagu-lagu ciptaan komposer tempatan. Cuma kita tidak nafikan, kekuatannya nampak lebih kepada lagu-lagu Melayu, sebab itu ramai komposer lagu bahasa lain tidak berani cuba.

"Apapun, kita tidak pernah membataskan penyertaan kepada lagu-lagu Melayu saja," katanya.

Separuh akhir akan bersiaran secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pada pukul 10 malam.

Berikut adalah senarai 30 lagu yang berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-24:

1. Bencinta (artis: Faizal Tahir, komposer: Audi Mok, penulis lirik: Faizal Tahir)

2. Pakai Buang (artis: Stacy, komposer/penulis lirk: Edry)

3. Aurora (artis: Estranged, komposer/penulis lirik: Estranged)

4. Benar-Benar (artis: Adam, komposer/penulis lirik: Edry)

5. Gila (artis: Mila, komposer: Audi Mok, penulis lirik: Nur Fatimah)

6. Rindu Terhenti (artis: Tomok, komposer: Aubrey Suwito, penulis lirik: Tinta)

7. Situasi (artis: Bunkface, Komposer/penulis lirik: Sam)

8. Dan Sebenarnya (artis: Yuna, komposer/penulis lirik: Yuna, Paan, Efry, Adil)

9. Kau Aku (artis: Aizat, komposer/penulis lirik: Aizat

10. Pergi (artis: Aizat, komposer/penulis lirik: Pete Teo)

11. Aku Skandal (artis: Hujan, komposer/penulis lirik: Noh)

12. Patri (artis: Jinbara, komposer/penulis lirik: Anjang)

13. Mirage (artis: Pesawat, komposer/penulis lirik: Jipie)

14. Cinta Adam Dan Hawa (artis: Misha Omar, komposer: Azmeer, penulis lirik: Loloq)

15. Khatimah Cinta (artis: Sixth Sense, komposer/penulis lirik: Sixth Sense)

16. Tak Mungkin Kerna Sayang (artis: Alyah, komposer: Ajai, penulis lirik: Habsah Hassan)

17. Pari-Pari Di Bawah Angin (artis: Meet Uncle Hussein, komposer/penulis lirik: Taja, Tassiq, Lan)

18. Ku Pinjam Satu Bintang (artis: Alyah & Riz, komposer: Ajai, penulis lirik: Slen)

19. Dia, Aku Dan Kamu (artis: Nadia & Red Peanut, komposer: Eddie Hamid, penulis lirik: Ahmad Fedtri Yahya)

20. Raja Gelek (artis: One Nation Emcees, komposer: Damien Mikhail, penulis lirik: One Nation Emcees)

21. Oh Anok Anok (artis: Reshmonu, komposer: Reshmonu, penulis lirik: Farasha Osman)

22. Masih Jelas (artis: Hafiz, komposer: Aidit Alfian, penulis lirik: Ad Samad)

23. Tahu Tak Tahu Joget (artis: Jinbara, komposer: Anak Jin, Palut; penulis lirik: Anak Jin)

24. Bertamu Di Kalbu (artis: Jaclyn Victor, komposer/penulis lirik: Anjang)

25. Ketika Ini (artis: Estranged, komposer/penulis lirik: Estranged)

26. Seadanya Aku (artis: Nubhan, komposer: Sharon Paul, penulis lirik: Azalea)

27. Aku Rindu Sayang Kamu (artis: Black, komposer/penulis lirik: Yuzai)

28. Enjut (artis: Noraniza Idris, komposer: Cat Farish, penulis lirik: Ahmad Fedtri Yahya)

29. Fikirlah (artis: Aizat, komposer/penulis lirik: Anas)

30. Bengang (artis: Akim, komposer: Amir, penulis lirik: Sheikh Qalam)

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails