xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Thursday, October 15, 2009

Rossa tawar diri pulihkan hubungan Malaysia-Indonesia


KEKERUHAN hubungan antara Malaysia dan Indonesia ketika ini, rentetan dari isu tarian pendet sememangnya turut dirasai oleh penyanyi popular Indonesia, Sri Rossa Roslaina Handiyani yang mesra dengan panggilan Rossa ini.

Bagi Rossa yang menganggap Malaysia adalah 'rumah' keduanya memandangkan dia sendiri turut mencipta nama di negara ini, dia sedar, isu itu masih belum habis diperkatakan.

Namun, tutur penyanyi berusia 31 tahun ini, sebagai individu yang 'mengenali' dua negara ini, dia turut mempunyai kesedaran untuk cuba 'memulihkan' ketegangan yang melanda dengan cara tersendiri atas nama sebagai seorang penyanyi.

"Sedih sekali jika perkara ini berlarutan atau semakin meruncing. Mengapa perlu bersengketa sedangkan kita bersaudara dan merupakan satu rumpun? Saya senang sekali dengan layanan yang diberikan oleh kenalan dan peminat-peminat Malaysia setiap kali saya berada di sana.

"Seboleh mungkin, saya juga ingin cuba memulihkan keadaan ini dan tidak salah untuk saya lakukannya menerusi muzik. Saya percaya, muzik boleh menyatukan bangsa.

"Insya-allah, ini hanyalah salah faham yang sebenarnya boleh dileraikan andai kata semua pihak di kedua-dua negara memainkan peranan masing-masing dengan baik.

"Apa yang penting, jangan ada yang mengambil kesempatan di atas keruncingan yang sedang berlaku ini," ujar Rossa ketika dihubungi di Jakarta, Indonesia, semalam.

Ditanya sama ada dia sendiri pernah berasa risau kemungkinan peminat-peminat di Malaysia akan turut memboikot artis-artis Indonesia termasuk dirinya gara-gara isu itu, kata penyanyi yang popular dengan lagu Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta dan Hey Ladies ini, dia tidak pernah terfikir sedemikian.

"Sejujurnya, saya tidak pernah risau dan tidak pula terlintas tentang diboikot. Perkara ini boleh dibendung.

"Saya sendiri ada berkunjung ke Kuala Lumpur sewaktu bulan Ramadan yang lalu dan saya bersyukur, peminat-peminat di sana tetap menerima diri dan muzik saya walaupun ketika itu isu ini sedang 'hangat'.

"Begitu juga yang saya harapkan layanan sama turut diterima jika artis-artis Malaysia datang ke negara ini. Tidak perlu boikot-memboikot," kata wanita kelahiran Sumedang, Jawa Barat, Indonesia ini.

Menurut Rossa, dilantik sebagai duta pelancongan oleh Jakarta City Government Tourism & Culture Office (JTCO) juga memberikan platform yang bagus untuk dirinya sama-sama cuba menjernihkan keadaan yang melanda.

Malah, Rossa turut teruja apabila JTCO bersama dengan Explorer Tourism Network (ETN) menganjurkan peraduan 'Fly with Rossa to Jakarta' untuk kempen mempromosikan negara itu, yang mana seorang peminat bertuah di Malaysia akan memenangi dua tiket penerbangan pergi balik bagi kelas bisnes KLM Royal Dutch Airlines dengan ditemani oleh Rossa untuk bercuti bersama penyanyi itu di Jakarta selama 3 hari 2 malam pada 4 November nanti.

"Saya berharap dengan program ini, ia dapat memberi peluang kepada saya untuk memberikan imej yang baik tentang Indonesia. Bagi saya, program ini sebenarnya secara tidak langsung merupakan satu usaha yang baik tatkala kita berdepan dengan isu ini.

"Sejujurnya, saya memang tidak sabar untuk menyertai percutian ini bersama peminat bertuah itu nanti," ujar ibu kepada Muhammad Rizky Langit Ramadhan yang berusia dua setengah tahun ini.

Selain itu, pemenang bertuah akan memenangi penginapan tiga hari dua malam di hotel bertaraf lima bintang, baucer beli-belah bernilai USD300 (RM1000) dan jemputan menyaksikan 'showcase' Enjoy Jakarta Evening oleh Rossa.

Maklumat lanjut dan peraduan itu boleh disertai dengan melayari laman web www.etn.my

Bercerita tentang persembahan istimewanya, Enjoy Jakarta Evening yang merupakan salah satu program di dalam kempen itu, kata Rossa, persembahan yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe pada 3 November depan itu lebih berkonsepkan 'intimasi'.

"Ia bukannya sebuah konsert yang besar, hanya sekitar 200 penonton akan diundang untuk menyaksikan persembahan itu. Seperti biasa, saya akan membawakan lagu-lagu popular saya dan akan turut menyanyikan lagu tema kempen ini, Enjoy Jakarta," ujar Rossa yang pernah mengadakan konsert mini di Kuala Lumpur pada Jun lalu.

Kata penyanyi ini lagi, dia juga rindu untuk sekali lagi beraksi di depan lebih ramai peminat-peminat di Malaysia dan akui Rossa, impiannya itu mungkin akan tercapai apabila dia dijangka akan mengadakan konsert solo di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada April depan.

"Setelah melihat konsert Datuk Siti Nurhaliza di IB tidak lama dulu, saya memang teringin sangat untuk turut adakan konsert di sana.

"Sekarang ini masih di dalam perancangan, dan saya yakin, isu ketegangan yang melanda ini tidak akan menjejaskan impian saya," kata Rossa.

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails