INI bukan angan-angan Mat Jenin. Pemilik gedung terkemuka 'Harrods', Mohamed Al-Fayed ingin menjadi Presiden negara Scotland yang merdeka.
Syarat Fayed cukup mudah: "Rakyat Scotland mesti melupakan keluarga Di-Raja Britain".
Ini kerana semua urusan perlantikan termasuk pelantikan First Minister of Scotland (berperanan sama seperti Ketua Menteri atau Menteri Besar) masih tertakluk di bawah bidang kuasa Raja dan dalam kes ini ialah Ratu England iaitu Queen Elizabeth II.
Al-Fayed yang merupakan seorang berketurunan Arab Mesir mendakwa beliau sebenarnya berkongsi keturunan dengan warga Scotland.
Fayed juga berkata dia akan membeli Istana Balmoral milik Ratu dan mentransformasikannya ke sebuah muzium selepas Scotland berpisah dengan United Kingdom.
Kata Fayed: "Jika anda - rakyat Scotland - masih mengekalkan Keluarga DiRaja sebagai ketua kerajaan, anda tidak mempunyai harapan. Apabila anda memperolehi kebebasan semula, saya bersedia menjadi presiden anda."
Fayed memiliki estet Balnagown seluas 65,000 ekar di Sutherland, Scotland. Dua tahun lalu, dia mempamerkan satu patung lilin dirinya sendiri yang memakai pakaian Highland di pusat pelawat miliknya.
Dia berasa terdapat persamaan di antara dirinya dengan warga Scotland dan percaya mereka berasal dari keturunan seorang puteri Mesir.
Malah Fayed merasakan, warga Scotland telah hidup dalam "koma" untuk suatu tempoh yang panjang kerana telah membiarkan diri mereka ‘dijajah’ dengan begitu lama oleh orang Inggeris.
"Saya akan menyediakan apa jua bantuan yang diperlukan untuk 'memerdekakan' Scotland. Saya telah tinggal di England selama 40 tahun tetapi rumah yang saya ingin ialah Scotland," katanya.
Fayed pernah memohon untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan daripada Kerajaan UK tetapi permohonannya itu tidak mendapat layanan yang sepatutnya malah telah ditolak tanpa alasan.
Bagaimanapun, Fayed mengkritik First Minister Alex Salmond yang menolak tawaran "bantuan dan nasihatnya".
Jawatan First Minister of Scotland diwujudkan pada tahun 1999 selepas satu Referendum yang diadakan pada tahun 1997 di Scotland untuk mendapat mandat daripada masyarakat Scottish sama ada mereka menyokong cadangan untuk mewujudkan sebuah Parlimen Scotland yang juga membawa kepada beberapa kuasa autonomi dalam bidang hal ehwal dalaman, pendidikan, kesihatan dan kehakiman.
Referendum itu adalah merupakan sebahagian daripada komitmen manifesto yang dibawa oleh Parti Buruh sebelum mereka memenangi pilihanraya umum UK 1997.
"Saya bersedia membuat apa-apa untuk Scotland tetapi saya tidak ingin individu bernama Alex Salmond. Saya ingin berjumpa dengannya tetapi dia menolak. Dia tidak ingin tahu langsung apa yang ingin saya katakan," tegas Fayed yang membeli hartanah, menggaji pekerja dan membawa pelancong ke Scotland saban tahun.
Harrods sebuah gedung membeli belah ternama milik Fayed, terletak di Brompton Road di Knightsbridge, London, England. Gedung itu menduduki kawasan seluas 4.5 ekar (atau 18,000 meter persegi).
Lebih 330 kedai yang mempunyai ruang berkeluasan 90,000 meter persegi terdapat di gedung Harrods.
Ini menjadikan Harrods salah satu gedung terbesar di dunia sebaris dengan gedung Macy di New York.
Moto Harrods ialah 'Omnia Omnibus Ubique - All Things for All People, Everywhere'.
Mampukah Fayed, pemilik Harrods ini mempraktikkan moto 'all things for all people' untuk memerdekakan rakyat Scotland? Atau Fayed sekadar memasang angan-angan Mat Jenin?
0 comments:
Post a Comment