xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Tuesday, October 20, 2009

'Laluan besi' tertinggi dunia di Rabung Kinabalu


Dengan adanya 'Via ferrata' atau 'jalan besi' di Gunung Kinabalu, Sabah ini, pendaki tidak perlu bergantung kepada peralatan yang biasa mereka gunakan seperti tali dan 'belay' (alat mekanikal yang diguna untuk mengawal keregangan tali) serta juga tanpa risiko yang mungkin dihadapi semasa pendakian. Via ferrata merupakan satu laluan di gunung di mana tangga, pemegang besi serta kabel keluli tertanam dalam permukaan batu di lereng gunung itu. Kehadiran via ferrata memberi peluang bagi mereka yang baru menceburi bidang pendakian untuk memanjat gunung, yang sebelum ini hanya satu bidang eksklusif bagi pendaki gunung yang berpengalaman dengan menggunakan peralatan khas. -Foto BERNAMA

JIKA ditanya pada orang kebanyakan, apakah itu 'via ferrata', hampir pasti reaksi mereka ialah gelengan kepala disusuli dengan jawapan "maaf, tidak tahu".

Cuba ulang soalan yang sama kepada seorang pendaki gunung atau mereka yang mempunyai hobi sedemikian, sudah pasti anda mendapat jawapan yang mengujakan berserta dengan cerita tentang pengalamannya sekali.

Via ferrata atau dalam bahasa Itali bermaksud 'jalan besi' merupakan satu laluan di gunung di mana tangga, pemegang besi serta kabel keluli tertanam dalam permukaan batu di lereng gunung itu.

Kehadiran via ferrata memberi peluang bagi mereka yang baru menceburi bidang pendakian untuk memanjat gunung, yang sebelum ini hanya satu bidang eksklusif bagi pendaki gunung yang berpengalaman dengan menggunakan peralatan khas.

Asal-usul rekreasi 'jalan besi' gunung ini muncul ketika Perang Dunia Pertama. Tentera Itali membina laluan via ferrata merentasi Pergunungan Dolomites untuk mengangkut bekalan serta senjata dan juga pasukan tentera untuk menyerang Austria.

Dengan adanya via ferrata, pendaki tidak perlu bergantung kepada peralatan yang biasa mereka gunakan seperti tali dan 'belay' (alat mekanikal yang diguna untuk mengawal keregangan tali) serta juga tanpa risiko yang mungkin dihadapi semasa pendakian.

Jalan besi seperti ini boleh dijumpai di kawasan pergunungan di Itali, Jerman, England, Perancis, Austria, Slovenia, Switzerland, Sepanyol, Sweden, Norway dan Poland serta beberapa lokasi lagi seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Malaysia.

Via ferrata yang dibina di Gunung Kinabalu, Sabah merupakan laluan besi pergunungan bukan sahaja pertama di Malaysia tetapi juga satu-satunya di Asia.

Dibuka pada tahun 2007 ia merupakan laluan alternatif untuk ke puncak Gunung Kinabalu yang tingginya 4,095 meter dari aras laut.

Laluan ini terletak di permukaan batuan Panar Laban, Gunung Kinabalu. Via ferrata ini merupakan yang tertinggi di dunia pada ketinggian 3,776 meter dari aras laut dan fakta ini telah dicatatkan di dalam Guinness World Records.

Untuk ke via ferrata ini, pengunjung terpaksa mengharungi perjalanan dan pendakian selama 46 jam dari pejabat Taman Kinabalu.

Syarikat yang bertanggungjawab membina laluan ini ialah Mountain Torq Sdn Bhd yang beroperasi di Kota Kinabalu dan menjalankan promosi aktiviti pendakian gunung di Asia.

VIA FERRATA YANG DIBINA MOUNTAIN TORQ

Via ferrata yang dibina Mountain Torq ialah sepanjang 1.2 km dan merentasi kawasan gunung yang mempunyai darjah kesukaran berubah-ubah.

Ia boleh digunakan oleh semua pendaki, daripada mereka yang baru menceburi bidang ini hingga kepada mereka yang sudah lama dan berpengalaman.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Mountain Torq Quek IGek menyatakan 'laluan besi' ini sesuai untuk mereka yang berumur 10 tahun ke atas.

"Laluan ini direka untuk memberi peluang kepada pendaki yang tidak punya pengalaman untuk merasai keseronokan berada di atas gumpulan awan. Anda tidak perlu jadi seorang pendaki yang berpengalaman untuk berbuat demikian," kata beliau.

Keluarga, kanak-kanak sekolah serta juga pendaki yang mempunyai tahap kecergasan yang sesuai akan teruja untuk mencuba aktiviti 'Walk The Torq' (meniti kabel keluli yang tegang).

Sepanjang titian 430 meter itu, yang mengambil masa 23 jam, peserta boleh menyaksikan keindahan alam semula jadi di Borneo.

Tetapi mereka yang mempunyai keinginan untuk menempuh keadaan yang lebih mencabar, serta yang boleh merangsang adrenalin atau mempercepat denyutan nadi, mereka boleh mencuba pendakian laluan ini sehingga ke Puncak Low, puncak yang paling tinggi di Gunung Kinabalu pada 4,095 meter dari paras laut.

Jarak via ferrata di laluan ini ialah 763 meter dan hanya sesuai untuk pendaki yang mempunyai tahap kecergasan tinggi.

Cabaran lain ialah melalui jambatan gantung sepanjang 22 meter yang berada 3,600 meter dari paras laut.

"Selagi anda tahu bagaimana nak panjat tangga dan masih berupaya berbuat sedemikian, anda akan berupaya untuk melalui cabaran via ferrata. Apa yang anda perlukan ialah semangat kental untuk mengembara selain daripada kecergasan seorang pendaki gunung serta juga tidak gayat kepada ketinggian," kata Quek.

TAHAP KESELAMATAN

Bagi sukan lasak dan ekstrem, tahap keselamatan merupakan aspek keutamaan.

Dan menurut Quek, cabaran via ferrata lebih selamat berbanding sukan lasak pergunungan yang lain seperti abseling, mendaki batuan serta juga mendaki alpine.

Via ferrata yang dibina Mountain Torq's memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai cabaran pendakian dalam suasana yang selamat kerana ia menepati piawaian tahap keselamatan pendakian gunung antarabangsa.

Laluan besi ini berupaya menampung berat sehingga tiga tan metrik dan ia dibina oleh pakar via ferrata dari Eropah.

Langkah keselamatan yang digariskan Persekutuan Pendakian Gunung Antarabangsa (UIAA) bagi sukan pendakian juga dipatuhi dengan ketat.

Segala peralatan yang digunakan, menepati piawaian dan disahkan UIAA.

Para peserta juga tidak perlu bimbang kerana hadirnya pendaki dan jurulatih berpengalaman yang mempunyai kepakaran UIAA untuk memberikan bimbingan.

Satu sistem keselamatan 'belay' juga turut disediakan di mana setiap peserta akan disambungkan kepada satu talian yang memastikan mereka tidak tersasar dari laluan.

PERKHIDMATAN LAIN

Selain menawarkan pakej via ferrata, Mountain Torq juga merupakan satusatunya pusat latihan pendakian gunung di Asia Tenggara. Ia menawarkan aktiviti pendakian seperti 'rappelling' dan 'alpine rock climbing'.

Penginapan juga disediakan di Pendant Hut, 3,270 meter dari paras laut dan terletak di Laban Rata.

Ia menawarkan penginapan yang selesa dan mesra alam dan terdiri daripada dormitori, serta bilik VIP dan persendirian. Dari lokasi ini, pendaki hanya perlu berjalan kaki selama 1520 minit untuk sampai ke tempat permulaan via ferrata.

Usaha Mountain Torq membina via ferrata di Gunung Kinabalu memainkan peranan mempromosi gunung itu dan Sabah sebagai destinasi pelancongan di Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails