xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Thursday, October 22, 2009

Filem Jin Notti Kritik Kerajaan?

SELEPAS Cicakman, Duyung dan Cicakman 2: Planet Hitam, KRU Studios menerbitkan Jin Notti yang dibintangi penyanyi lelaki paling popular, Mawi dan deejay wanita paling popular tanah air, Fara Fauzana.Filem arahan Azahari Zain ini diterbitkan bersama penaja utama, Telekom Malaysia Berhad. Ia ditayangkan di 60 buah pawagam seluruh negara mulai 20 September lalu bersempena Hari Raya Aidil Fitri.

Penulis tidak pasti apakah Lembaga Penapis Filem akan meluluskan Jin Notti jika filem ini bukan dalam bentuk komedi. Jelas persembahan Jin Notti penuh dengan kritikan dan sindiran terhadap masyarakat, termasuk pemimpin kerajaan.

Tiada yang menarik dalam aspek pengarahan, lakonan, sinematografi dan muziknya. Bagaimanapun, Jin Notti boleh dianggap unik kerana persembahannya sesuai untuk kanak-kanak, sedangkan isu yang dibawanya relevan dengan orang dewasa.

Dalam gelak ketawa, Jin Notti menarik kerana turut menyelitkan kritikan dan sindiran yang kadang-kadang begitu ketara. Kritikan dan sindiran tersebut terserlah dalam dialog dan komedi di sepanjang durasinya.

Penulis fikir barangkali Jin Notti tidak diharamkan kerana persembahannya dalam bentuk komedi meski pun agak lantang menyelar pemimpin kerajaan, sistem kehakiman serta budaya dan sikap masyarakat negara ini.

Terlalu banyak dialog sinis dan pedas dalam filem ini. Oleh itu, penulis tidak dapat mengingati kesemuanya untuk dipaparkan dalam tulisan ini. Antara yang diingati ialah ada watak menyebut ‘key performance index indicator’ atau KPI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Razak.

Yang pasti, Jin Notti agak berani menyelar sistem kehakiman negara – seperti yang semua sedia maklum - ada hakim yang boleh dibeli dan membebaskan anak guam yang sebenarnya bersalah.
Jin Notti turut menyindir fenomena di negara kita hari ini di mana mereka yang telah terbukti melakukan kesalahan jenayah terlepas, sedangkan yang tidak bersalah dihukum.

Antara yang mengejutkan ialah dalam dialog Jin Samsu (lakonan Bob Lokman) sewaktu menolak tawaran rasuah daripada VK Jinggam (Acappan). Penampilan watak Jinggam itu juga mengejutkan. Sesiapa yang memahami atau mengikuti perkembangan politik dan kehakiman negara, pasti tahu siapa VK Jinggam itu sebenarnya……‘Correct!’ oleh VK Jinggam

Hakikat tersebut diperkuatkan lagi dengan pengulangan kalimah ‘Correct!’ oleh Jinggam setiap kali ditanya oleh Jin Samsu atau Sofia Jin!

Berdasarkan keberanian itu, Jin Notti sangat menarik dan membanggakan. Selepas Kembara… Seniman Jalanan arahan Nasir Jani pada tahun 1985, sukar sekali kita menemui filem tempatan yang ‘daring’ sebegini.

Selain Mawi, Fara Fauzana, Bob Lokman dan Acappan, Jin Notti turut dibintangi Cat Farish (Jinbara), Adibah Noor (Sofia Jin), Hafidzuddin Fadzli (Nesti), Adam Corrie Abdullah (Taiko), Sazzy Falak (Zulu), Sheila Mambo (ibu Zulu), Aziz M Osman (Hisham) dan Betty Benafe (peguam bela). Sementara penerbit filem prolifik, David Teo memegang watak Ketua Kongsi Gelap.

Jin Notti mengisahkan Notti (Fara Fauzana), seorang gadis jin yang sangat baik, lembut dan jujur berusia 117 tahun. Dia dijatuhi hukuman yang sangat berat, iaitu dikurung di dalam penjara All Alone oleh Majlis Penghakiman Jin yang diketuai Jin Samsu.

Notti dihantar turun ke dunia manusia untuk bergaul dengan golongan yang melakukan perkara nakal.
Dia memasuki tiga tubuh manusia yang mempunyai sifat yang berbeza, iaitu Ruby, gadis remaja punk yang berasal dari keluarga yang berpecah-belah, nakal dan liar; Yvonne, berbangsa Cina dan teman wanita Taiko yang menjalankan aktiviti menjual VCD cetak rompak, memeras ugut serta meminta wang perlindungan dan Sharifah, peguam canggih yang sering membela penjenayah.

Setiap kenakalan yang dilakukan oleh Notti harus melepasi skala kenakalan yang dikenakan pada pergelangan tangannya. Dia ditemani peguamnya, Jinbara sepanjang menjalani hukuman di dunia manusia sebagai penasihat untuk terus berkelakuan nakal.

Bagaimanapun, di sepanjang perjalanan hukumannya, Notti mulai jatuh cinta pada Aziz (Mawi), lelaki yang ditemui di tiga buah tempat yang berbeza.

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails