KAJANG: Kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang lelaki Afrika didakwa sanggup mendera, merogol dan meliwat anak kekasihnya yang baru berusia tiga tahun sehingga kanak-kanak itu menemui ajal.
Malah, kekasih wanita terbabit yang juga seorang janda berusia 24 tahun tergamak bersekongkol dengan warga asing itu apabila sanggup berbohong dengan mereka cerita kononnya anaknya mati akibat didera pembantu rumah.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati fakta dalam keterangan diberikan wanita yang bekerja sebagai setiausaha itu meragukan sebelum merumuskannya sebagai pembohongan apabila mendapati wanita terbabit tidak pernah menggaji pembantu rumah yang didakwa melarikan diri sejurus selepas tragedi menyayat hati itu.
Sumber polis berkata, wanita rakyat tempatan itu dikesan menjalinkan hubungan dengan lelaki Sudan terbabit sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, lelaki warga asing itu sebelum ini memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar dan menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota.
“Bagaimanapun, lelaki berusia 24 tahun itu hanya belajar sebulan sebelum tinggal bersama kekasihnya iaitu wanita warga tempatan di sebuah kondominium di Batu 9, Kajang.
“Difahamkan, lelaki Afrika terbabit tinggal serumah dengan wanita tempatan itu yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun hasil perkahwinannya sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, lelaki terbabit yang kerap diminta menjaga kanak-kanak terbabit dipercayai sering memukul selain merogol dan meliwat mangsa terutama ketika ibunya tiada di rumah kerana keluar bekerja pada waktu siang.
“Namun, pada 12 Oktober lalu, ibu mangsa yang pulang ke rumah jam 9 malam terkejut apabila mendapati anak perempuannya koma dengan keadaan tubuh tidak bermaya.
“Wanita terbabit segera membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, namun mangsa dilaporkan mati akibat kecederaan serius terutama di kepala,” katanya.
Menurutnya, wanita terbabit yang membuat laporan polis susulan kematian anaknya, mendakwa kanak-kanak perempuan itu mati akibat didera pembantu rumahnya.
“Menurut wanita itu, pembantu rumahnya bagaimanapun melarikan diri sebaik dia pulang ke rumah sejurus kejadian. Namun, polis mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila siasatan mendapati suspek tidak pernah menggunakan khidmat pembantu rumah asing.
“Malah, rasa curiga semakin kuat apabila hasil bedah siasat pihak hospital menemui kesan kecederaan pada kemaluan mangsa selain kesan sama pada dubur dipercayai akibat diliwat. Malah, tubuh dan muka mangsa dipenuhi kesan luka lama dan baru dipercayai akibat dipukul dengan teruk,” katanya.
Menurutnya, polis yang menyedari berlaku kes pembunuhan kejam terhadap mangsa bergegas ke kediaman suspek pada 13 Oktober lalu bagi melakukan pemeriksaan lanjut.
“Hasil beberapa bukti diperoleh, polis menahan pasangan kekasih terbabit sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut.
“Setakat ini, kedua-dua suspek mengaku melakukan penderaan terhadap kanak-kanak terbabit yang membawa kepada kematiannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood mengesahkan kejadian pembunuhan itu namun enggan mengulas lanjut.
“Perbuatan berkenaan amat kejam dan tidak berhati perut terutama terhadap kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa. Pihak polis akan melakukan siasatan secepat mungkin bagi memastikan individu yang melakukan jenayah itu mendapat hukuman setimpal,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.-metro
0 comments:
Post a Comment