MESKIPUN Anang berkata dia akan memaafkan bekas isterinya Krisdayanti (KD) di hari lebaran nanti, Anang masih menaruh rasa sakit hati yang bersarang di hatinya.
Begitu juga dengan dua anak mereka, Aurel dan Azriel yang masih belum bertemu dengan ibu mereka, KD hingga ke hari ini.
Menurut Anang, bukan dia melarang kedua-dua buah hatinya dari menemui ibu mereka tetapi anak-anaknya yang masih marah dan sakit hati dengan KD.
"Bukannya masalah tega atau apa, anak-anak itu lagi sakit hati sama ibunya. Nanti kalau mereka ketemu, KD dimaki-maki anak-anak bagaimana?," jelas Anang ketika diwawancara oleh media di sana baru-baru ini.
Kata Anang, bukan maksudnya untuk mengeruhkan lagi keadaan kedua-dua anaknya dengan KD tetapi keadaan psikologi Aurel dan Azriel dengan ibu mereka masih belum dapat dipulihkan lagi.
Malah, Anang menganjurkan KD yang harus datang dan bertemu dengan Aurel dan Azriel.
"Kalau ibunya waras...seharusnya dia datang kepada anaknya, minta maaf. Seharusnya orang tua yang meminta maaf kepada anaknya agar sakit hati mereka akan luntur," kata Anang yang kini sudah biasa mengasuh Aurel dan Azriel tanpa kehadiran KD dalam hidup mereka.
Dan ketika ditanya bagaimana perasaannya kini, penyanyi dan komposer terkenal Indonesia itu dengan selamba mengaku, dia dibuang dari hidup setelah Krisdayanti mendapat kekasih baru.
"Kan dia sudah ada pemimpin baru, jadi saya yang kerdil ini bagaimana....ya saya dibuang," Anang dilaporkan berkata di pejabat Trinity Optima Production baru-baru ini.
Walaupun dari segi hukum agama, Anang telah menjatuhkan talak tiga ke atas KD tapi KD yang mengusulkan pendaftaran cerai ke pejabat agama.
Anang berharap proses perceraian akan berlangsung dengan cepat kerana semua dokumen telah pun dipanjangkan ke pejabat agama. Tinggal pendaftaran cerai saja yang perlu dilakukan.
"Saya tidak mahu berpolemik lama-lama. Ini kerana saya tidak bisa melangkah ke hadapan untuk mencari pasangan juga kalau begitu," jelas Anang.
Menurut sebuah laporan dari media Indonesia, Krisdayanti dijangka mendaftarkan penceraiannya selepas hari lebaran, kemungkinan besar pada 28 September 2009 ini.
Walaupun pada awalnya, kedua mereka sepakat hendak mendaftarkan cerai sebelum lebaran tetapi disebabkan liputan meluas di media tentang perceraian mereka, hasrat itu dilupakan.
Kisah perceraian Anang-KD mendapat liputan hangat di media Indonesia hinggakan kisah-kisah silam KD juga dikorek dan dibuka untuk tatapan umum. Baru-baru ini, Maya Firanti Noor bekas isteri kekasih KD yang bernama Ari Sigit, membuat pengakuan yang Titania Aurelia Hermansyah, bukanlah anak biologi Anang Hermansyah dengan KD.
Aurel, 12 tahun adalah anak pertama KD dan Anang. Nama Aurel juga disebut-sebut sebagai penyebab keruntuhan rumahtangga kedua ibubapanya apabila dia mengadu tentang kecurangan KD kepada Anang.
Pengakuan Maya itu, bagaimana pun dinafikan oleh KD, melalui jurucakapnya, Elsie Lontoh.
"Aurel itu memang anak Anang Hermansyah. Selama ini kami semua tidak pernah ada perdebatan atau keraguan tentang hal itu," jelas Elsie Lontoh, yang juga pengacara dan sahabat KD.
"Aurel anak kesayangan Anang dan Aurel juga sangat sayang papanya," kata Elsie.
0 comments:
Post a Comment