xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Thursday, September 17, 2009

Legasi 'Syawal' P. Ramlee

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee (1929-1973) dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri 22 Mac 1929.

MENJELANG Syawal setiap tahun, lagu malar segar 'Dendang Perantau' oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee (1929-1973) menjadi siulan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.

Segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama menyanyikan lagu itu kerana ia adalah halwa telinga untuk semua. Kita tidak jemu-jemu mendengarnya setiap kali menjelang Hari Raya.

"Di hari raya, Terkenang daku kepada si dia, Kampungku indah nun jauh di sana, Ayah serta bondaku.

"Di tepian mandi, Danauku hijau yang aman damai selalu, Nun di sanalah tempat aku bertemu, Aku dan dia.

"Apakan daya, Masa tak akan kembali, Hancur musnahlah semuanya.

"Impian yang murni, Tinggal menjadi kenang-kenanganku, Hanya rangkaian kata dan lagu, Dendang perantau."

Setiap baris lirik lagu itu membawa banyak makna kepada kita iaitu 'perantau' yang mencari nafkah di kota dan bandar. Amalan balik kampung untuk menemui orang-orang tua kita wajar diteruskan.

Apatah lagi, kedua-dua ibu bapa kita banyak berjasa kepada kita. Tanpa mereka, siapalah kita. Hargailah mereka sementara mereka masih hidup. Seperti mesej lirik lagu itu sendiri, 'masa tak akan kembali'.

Jangan kerana mengejar wang ringgit dan harta benda, kita bertukar peri laku seperti Si Tanggang yang menderhaka kepada ayah dan ibunya.

Dalam kita menghayati kelunakan melodi dan irama lagu 'Dendang Perantau', kita harus berterima kasih kepada penyanyi asalnya, Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee.

Seniman agung negara ini telah meninggalkan 'legasi Raya' untuk kita semua hayati pada bulan Syawal.

Anak kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967) ini bukan sahaja pandai menyanyi, bahkan merupakan seorang pelakon, pengarah, pemain muzik dan penulis lagu terkenal di Malaysia dan Singapura.

Syawal juga amat besar ertinya untuk Allahyarham P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh kerana dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri 22 Mac 1929.

Anak kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967) ini bukan sahaja pandai menyanyi, bahkan merupakan seorang pelakon, pengarah, pemain muzik dan penulis lagu terkenal di Malaysia dan Singapura.

Bermula dengan bermain ukele, P. Ramlee beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin (pemimpin brass band di Penang Free School).

Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya.

Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (bagi Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

Sementara itu, filem pertama lakonan Allahyarham P.Ramlee adalah "Chinta" pada tahun 1948. Allahyarham memegang peranan sebagai penjahat dan penyanyi latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955.

Filem terakhir lakonan Allahyarham ialah "Laksamana Do Re Mi" pada tahun 1972 dan lagu dan lirik terakhirnya adalah "Ayer Mata Di Kuala Lumpur" pada tahun 1973 sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur.

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, Allahyarham P. Ramlee telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.

P. Ramlee turut menerima Pingat Kebesaran Ahli Mangku Negara (A.M.N.) daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ketiga.

Allahyarham P. Ramlee pernah menerima tujuh anugerah dalam bidang perfileman dalam Festival Filem Asia pada tahun 50an dan 60-an iaitu sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Fotografi Terbaik dan tiga anugerah Filem Komedi Terbaik dan Most Versatile Talent.

Walaupun Allahyarham telah meninggalkan kita selama-lamanya, legasinya tetap berterusan dirasai terutama menerusi lagu 'Dendang Perantau' di bulan Syawal ini

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails