BANDAR RAYA MEXICO – Seorang paderi yang menaiki penerbangan Aeromexico Boeing 737 dari Cancun hanya menggunakan tiga tin minuman ringan untuk merampas pesawat tersebut.
Suspek Jose Mar Flores Pereira, 44, (gambar) yang juga penyanyi dan bekas penagih dadah itu bagaimanapun menyerah diri kepada pihak berkuasa semalam.
Kesemua penumpang pesawat yang tidak mengetahui mereka ditawan Pereira selamat dikeluarkan dari pesawat sejurus ia mendarat di sini.
Syarikat penerbangan menghubungi pihak berkuasa selepas menerima ancaman bom dalam pesawat, kata Aeromexico dalam satu kenyataan.
“Ia bukan bom. Ia hanya Jumex (jus buah-buahan) yang saya isi pasir dan mentol,” kata Pereira kepada sekumpulan wartawan sambil tersenyum.
Sejumlah laporan media terdahulu mendakwa pesawat yang membawa 104 penumpang dan anak kapal itu dirampas oleh sekumpulan penjenayah tetapi dinafikan Setiausaha Pengangkutan, Juan Francisco Molinar Horcasitas.
Pereira yang merupakan warga Bolivia memberitahu bahawa tindakan nekadnya merampas pesawat itu adalah kerana tarikh 9 September 2009 atau 09.09.09 kebetulan sama dengan angka syaitan 06.06.06 apabila ditulis terbalik.
Suspek menuntut mahu bercakap dengan Presiden Felipe Calderon menyebabkan pemimpin Mexico itu membatalkan mesyuarat untuk bergegas pergi ke lapangan terbang.
Pihak berkuasa berjaya menangkap Pereira selepas sejam pesawat itu mendarat namun lima penumpang lain turut ditahan kerana disyaki mungkin membantu lelaki itu.
“Kami hanya menyedari pesawat dirampas sebaik mendarat dan dimaklumkan oleh seorang krew menerusi suara siar raya,” kata seorang penumpang tempatan, Rodrigo Padilla.
“Segala-galanya begitu sunyi ketika mendarat, tiada senjata kelihatan, tiada tembakan dilepaskan dan perampas itu juga gagal memasuki kokpit pesawat,” katanya lagi. – Agensi
0 comments:
Post a Comment