Stesen kerajaan Rusia mengumumkan manifestasi terbaru kekuatan ketenteraan negara ini ketika hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) semakin dingin.
Menurut televisyen Channel One semalam, senjata baru yang diberi gelaran “bapa segala bom” itu adalah empat kali lebih kuat daripada “ibu segala bom” milik AS.
“Ujian menunjukkan senjata baru yang digugurkan dari udara itu setanding dengan bom nuklear dari segi kecekapan dan keupayaan,” kata Timbalan Ketua Staf Am tentera Rusia, Kolonel Jeneral Alexander Rukshin.
Berlainan dengan bom nuklear, bom tersebut tidak menimbulkan ancaman terhadap alam sekitar kerana tiada bahan radioaktif dilepaskan, tambah beliau.
Kenyataan itu mencerminkan usaha Kremlin untuk mengembalikan pengaruh Rusia di pentas global dan membina semula kekuatan tentera negara ini.
Moscow memperlihatkan kekuatan senjata terbarunya itu ketika hubungan dengan Washington menjadi tegang disebabkan beberapa faktor.
Antaranya ialah kritikan AS terhadap dasar Rusia yang dilihat kembali membelakangkan demokrasi, bantahan keras Moscow terhadap rancangan pertahanan peluru berpandu AS dan perbalahan berhubung krisis global.
Bom AS, Massive Ordnance Air Blast yang diberi gelaran Mother Of All Bombs atau Ibu Segala Bom telah digambarkan sebagai bom bukan nuklear paling kuat dalam sejarah.
Ia merupakan bom berkekuatan tinggi yang berpandukan satelit dan digugurkan dari udara.
Channel One melaporkan, sungguhpun bom Rusia itu mengandungi kira-kira tujuh tan bahan letupan berbanding lebih lapan tan dalam bom AS, ia empat kali lebih kuat kerana menggunakan bahan letupan jenis baru yang dihasilkan dengan nanoteknologi.
Bom AS itu bersamaan dengan 11 tan TNT tetapi bom Rusia menyamai kekuatan 44 tan bahan letupan biasa, menurut laporan tersebut.
Siaran Channel One menunjukkan bom itu digugurkan dengan payung terjun dari sebuah pesawat pengebom strategik Tu-160 dan meletup dalam satu bola api yang sangat besar. – AP
0 comments:
Post a Comment