PEMIMPIN Al-Qaeda, Osama bin Laden (gambar) dipercayai sudah meninggal dunia pada 13 Disember 2001 akibat penyakit buah pinggang tetapi pemerintah Amerika Syarikat (AS) dan kerajaan Britain dipercayai menyembunyikan kematiannya bagi meneruskan perang terhadap keganasan, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut akhbar itu, Pervez Musharraf semasa menjadi Presiden Pakistan pernah memberitahu stesen televisyen CNN di AS pada Januari 2002 bahawa Osama sudah meninggal dunia kerana sakit buah pinggang iaitu beberapa bulan selepas serangan pengganas berlaku di New York.
Kenyataan itu dibuat selepas akhbar Al-Wafd di Mesir memnyiarkan satu laporan pada 26 Disember 2001 yang menyatakan seorang tokoh terkenal kumpulan Taliban Afghanistan mengumumkan bahawa Osama sudah dikebumikan pada 13 Disember 2001.
"Dia (Osama) menghadapi komplikasi yang serius dan telah meninggal dunia. Dia dikebumikan di Tora Bora dalam satu pengebumian yang dihadiri oleh 30 pejuang Al-Qaeda, rakan-rakan rapat dari keluarga dan rakannya dari Taliban.
"Berdasarkan tradisi fahaman Wahabi, tidak ada tanda dibuat di kubur Obama," menurut laporan akhbar itu.
Teori yang mendakwa Osama sudah meninggal dunia dibuat pada awal tahun ini apabila bekas pegawai perisikan asing AS yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Boston, Profesor Angelo M. Codevilla berkata, semua rakaman pita video dan suara yang didakwa sebagai Osama tidak pernah meyakinkan pemerhati," kata profesor itu.
Menurutnya, wajah lelaki yang muncul dalam beberapa rakaman video tidak kelihatan seperti Osama.
"Beberapa rakaman video menunjukkan lelaki seperti Osama itu mempunyai hidung bengkok manakala rakaman lain menunjukkan hidung yang lebih pendek serta lebar," jelasnya.
Menurut Ketua Jabatan Kajian Agama Universiti Duke, Profesor Bruce Lawrence, imej dalam beberapa rakaman suara dan video yang didakwa Osama tidak konsisten dengan fahaman Islam Wahabi pegangan ketua Al-Qaeda itu.
Dalam satu video, Osama memakai cincin emas iaitu perhiasan yang diharamkan oleh pengikut Wahabi.
Dalam minggu ini, lebih banyak persoalan ditimbulkan berikutan penerbitan sebuah buku di Amerika dan Britain yang berjudul Osama bin Laden: Dead or Alive?
Buku itu ditulis oleh penganalisis politik dan falsafah di AS, Profesor David Ray Griffin.
Buku itu mendakwa Osama sudah meninggal dunia kerana kegagalan buah pinggang berfungsi atau penyakit yang berkaitan dengannya pada 13 Disember 2001 semasa dia tinggal di kawasan pergunungan Tora Bora, Afghanistan.
Pengebumiannya diadakan dalam tempoh 24 jam mengikut tradisi agama Islam dan kuburnya tidak mempunyai sebarang tanda, mengikut amalan Wahabi.
Menurut Griffin, banyak pita rakaman Osama yang disiarkan selepas hari pengebumiannya telah dibuat oleh Barat bagi mempengaruhi penduduk dunia bahawa ketua Al-Qaeda itu masih hidup.
Profesor itu berkata, tujuan pita rakaman palsu itu diadakan adalah bagi meningkatkan sokongan terhadap perang menentang keganasan di Iraq dan Afghanistan.
Tentera AS dan Britain yang melancarkan serangan besar-besaran ke atas Tora Bora, Afgha- nistan mengabaikan kenyataan Osama yang mendakwa dia tidak terlibat dalam serangan 11 September 2001 di AS.
Dalam satu daripada empat pengakuannya, Osama berkata: "Saya sudah menyatakan saya tidak terlibat. Sebagai seorang Islam, saya cuba sedaya upaya saya mengelak untuk menyatakan satu pembohongan. Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan... atau saya menimbangkan untuk membunuh wanita yang tidak bersalah, kanak-kanak dan manusia lain sebagai satu perbuatan yang dihargai." - Agensi
0 comments:
Post a Comment