xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Monday, September 7, 2009

Misteri Jantina Ahli Sukan

SAMA ada dia wanita atau lelaki, inilah yang masih menjadi persoalan. Kesahihan jantina seorang pelari Afrika Selatan dalam acara 800 meter dipersoalkan selepas dia mengejutkan apabila memenangi acaranya pada Kejohanan Olahraga Dunia di Berlin minggu lalu.

Berikut kami paparkan beberapa kes kekeliruan jantina dalam acara sukan sejak berdekad lalu.

1. Pelari jarak sederhana sensasi Caster Semenya, 18, berada di tengah-tengah kemelut persoalan mengenai jantina dan kebimbangan sama ada dia sebenarnya seorang lelaki atau wanita. Kelmarin, dia didapati memiliki tiga kali ganda lebih banyak tahap testosterone bagi seorang wanita.

Beberapa minggu sebelum perlumbaan, Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) menjalankan ujian untuk mengenalpasti jantina pelari itu, tetapi keputusan mengenainya belum diketahui.

2. Caster mungkin kehilangan pingat dimenanginya jika IAAF mengesahkan dia sebenarnya seorang lelaki dan ia bukannya kali pertama seorang atlit dilucutkan pingat.

Tiga tahun lalu pelari India, Santhi Soundarajan terpaksa memulangkan kembali pingat perak dimenanginya dalam acara 800m selepas gagal ujian jantina pada temasya Sukan Asia Doha. Sedihnya, berasa diaibkan secara khalayak, Soundarajan kemudiannya cuba membunuh diri.

3. Pada 2005, seorang hakim di Zimbabwe menjatuhi hukuman empat tahun penjara terhadap seorang atlit remaja terkenal tempatan kerana bertanding dalam acara wanita, selepas Samukeliso Sithole terlucut seluarnya dan didapati sebenarnya seorang lelaki.

Pelari berusia 18 tahun itu, yang sebelumnya mendakwa seorang khunsa, meraih tujuh pingat emas dalam pertandingan wanita pada 2004. Selepas enam saksi termasuk dua doktor mengesahkan Sithole adalah seorang lelaki, dia mengaku dan kemudiannya dipenjarakan.

4. Stanislawa Walasiewicz (kemudian dikenali sebagai Stella Walsh) memenangi pingat emas Olimpik buat Poland dalam acara 100 meter pada temasya Sukan Olimpik Los Angeles 1932. Empat tahun kemudian dia memenangi pingat perak dalam acara yang sama.

Di negaranya sendiri, Stanislawa amat popular dan dinamakan atlit sukan terbaik Poland pada 1930 dan dari 1932-34 ketika kariernya, dia mencatat lebih 100 rekod kebangsaan dan dunia, termasuk 51 rekod Poland, 18 rekod dunia dan lapan rekod Eropah.

Dia pasti akan tersemat dalam sejarah sebagai antara atlit sukan wanita terhebat jika dia tidak terbabit dalam satu rompakan bersenjata pada 1980. Stanislawa berada di tempat kejadian dalam rompakan di Cleveland, Ohio dan dia ditembak mati. Satu autopsi mendedahkan dia memiliki alat kelamin lelaki.

5. Pada 2004, pemain golf Australia dan seorang bekas lelaki, Mianna Bagger layak beraksi pada Jelajah Wanita Eropah (LET), muncul atlit transeksual pertama dalam sejarah. LET sebelumnya menjelaskan semua peserta mesti "wanita ketika lahir", tetapi peraturan itu berubah buat Bagger berikutan arahan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

6. Pemain Amerika, Richard Raskind seorang pemain tenis yang bagus - pada 1972 dia layak ke perlawanan akhir kejohanan kebangsaan bagi usia 35 tahun ke atas. Kemudiannya, dikenali sebagai Renee Richards, dia berjaya melonjak ke tangga ke-20 dalam ranking wanita dunia.

7. Pelompat bergalah Jerman, Yvonne Buschbaum, 29, dimahkotakan sebagai juara remaja dunia pada 1999 dan berakhir di tangga keenam pada temasya Sukan Olimpik Sydney tahun berikutnya. Dia juga memenangi pingat gangsa pada Kejohanan Eropah 2002, menjadikannya pelompat bergalah wanita kedua terbaik Jerman dalam sejarah dan perkara agak pelik berlaku selepas itu.

Pada 2007, Buschbaum bersara daripada sukan itu dan mula menukar jantinanya serta meminta dipanggil 'Balian', sempena watak dimainkan oleh Orlando Bloom dalam filem 2005 bertajuk 'Kingdom of Heaven'.

8. Pelumba basikal Kanada, Kristen Worley, sebelumnya seorang lelaki, hampir bertanding pada temasya Sukan Olimpik Beijing tahun lalu. Dia mungkin berusia 40 tahun, tetapi peralihan jantinanya bermula pada 1996.

Bertahun-tahun dengan suntikan hormon menyusul dan ketika dia mendakwa dia mampu melepasi masa kelayakan bagi acara 3,000m kejar mengejar, Jawatankuasa Olimpik Kanada menafikan impiannya, menyatakan catatan yang diperolehnya tidak mengikut lunas-lunas yang betul.

Jika dia beraksi di Beijing, dia akan muncul atlit pertama yang beralih jantina bertanding pada temasya Sukan Olimpik.

9. Ewa Klobukowska adalah atlit Olimpik pertama yang gagal ujian jantina. Pada 1967, dia didapati memiliki terlalu banyak kromosom. Tiga tahun terdahulu, dia menyinar pada temasya Olimpik Tokyo memenangi pingat emas acara 4x100m wanita dan gangsa 100m wanita.

Di Prague setahun kemudian, Ewa mencatat 11.1 saat dalam acara 100m, ketika itu satu rekod baru dunia. Selanjutnya, pada 1966, pada Kejohanan Eropah di Budapest dia memenangi dua pingat emas dalam acara 100m dan 4x100m serta perak dalam acara 200m.

10. Pemecah rekod dunia acara lompat tinggi, Hermann Ratjen dipaksa oleh Nazi di Jerman untuk berlagak menjadi seorang wanita pada temasya Olimpik Berlin 1936. Nazi mahu memastikan Jerman memenangi banyak pingat emas daripada temasya terdahulu dan lebih banyak daripada Amerika Syarikat, dan Ratjen, atau lebih dikenali sebagai Dora, terlepas pingat tahun itu apabila hanya menduduki tangga keempat.

Namun dia memenangi Kejohanan Eropah di Vienna pada 1938, mencatat rekod dunia bagi lompat tinggi wanita.

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails