xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Wednesday, September 30, 2009

Perjalanan panjang Mandela menuntut kebebasan

Nelson Mandela terkenal dalam perjuangannya untuk menghapuskan dasar Apartheid di Afrika Selatan. foto-AP

NELSON Mandela dalam usia 91 tahun masih dilihat sebagai seorang negarawan ulung. Perjuangannya untuk menghapuskan dasar yang mendiskriminasi kaum mengikut warna kulit, iaitu Apartheid di Afrika Selatan penuh dengan pelbagai rintangan dan kepahitan.

Walaupun terpaksa meringkuk didalam penjara selama 27 tahun, tetapi akhirnya beliau berjaya menjadi Presiden kulit hitam yang pertama dan selepas itu sering terlibat dalam misi-misi pengaman di wilayah yang bergolak.

Tetapi sejak meletakkan jawatan sebagai Presiden Afrika Selatan pada tahun 1999, beliau giat menyertai kempen-kempen membendung penularan virus HIV yang menyebabkan penyakit Aids.

Nelson juga telah berkempen sehingga negaranya terpilih menjadi tuan rumah sukan paling berprestij di dunia iaitu hos pertandingan akhir Bolasepak Piala Dunia pada tahun 2010. Kejohanan ini dilangsungkan setiap empat tahun sekali.

Karisma, unsur lawak jenaka, tidak pernah menyimpan dendam dan perjalanan hidup penuh berliku, adalah faktor utama Nelson sentiasa di kenang sebagai tokoh terkemuka dunia.

Beliau telah menerima lebih daripada seratus anugerah sepanjang empat dekad lalu dan telah diberikan anugerah Nobel Keamanan pada tahun 1993.

Latar Belakang

Nelson meraikan ulangtahun harijadinya yang ke-91 Julai lepas di Houghton, Johannesburg. foto-AFP

Nelson Rolihlahla Mandela dilahirkan pada 18 Julai 1918 di Mvezo, Eastern Cape, Afrika Selatan.

Beliau berasal dari suku kaum Madiba dan nama Madiba sudah sinonim dengannya kerana sering dipanggil dengan nama jolokan itu.

Nama Nelson merupakan nama yang diberikan oleh guru Bahasa Inggerisnya ketika beliau masih di bangku sekolah.

Beliau menamatkan pendidikan menengahnya di Healdtown Methodist Boarding School dan mendapatkan ijazah sarjana muda di bidang perniagaan di Universiti Fort Hare.

Sebagai salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nelson bersama dengan mendiang Oliver Tambo pernah menentang apartheid dengan mogok pelajar dan akhirnya dibuang dari universiti tersebut pada tahun 1940.

Beliau kemudian melanjutkan pendidikan melalui program jarak jauh di University of South Africa (UNISA) di Johannesburg.

Setelah mendapat ijazah dalam bidang perniagaan, Nelson mendaftar dalam program LLB (Sarjana Muda Undang-Undang) di University Witwatersrand.

Ayahnya, Gadla Henry Mphakanyiswa, merupakan Penasihat Pengadilan Tinggi di kawasan Thembu di bawah pemimpin tertinggi David Dalindyebo.

Selepas ayahnya meninggal dunia, Nelson dibimbing dan dididik oleh David Dalindyebo untuk menjadi seorang pemimpin.

Beliau berkahwin dengan Evelyn Mase, pada tahun 1944. Mereka bercerai pada tahun 1957 dan memiliki tiga orang anak.

Pada tahun 1958, Nelson berkahwin pula dengan Winnie Madikizela, yang kemudiannya memainkan peranan utama dalam kempen membebaskan suaminya ketika Nelson dipenjarakan.

Mereka bercerai pada tahun 1996 dan mempunyai dua orang anak bersama.

Winnie menjadi tumpuan ramai di seluruh dunia pada tahun 1985 apabila beliau sendiri membacakan teks ucapan Nelson yang menolak tawaran kerajaan Afrika Selatan pada masa itu yang mahu membebaskannya secara bersyarat.

Kemudian pada tahun 1998, Nelson berkahwin buat kali ketiga dengan Graça Machel iaitu seorang balu kepada bekas Presiden Mozambique yang juga sekutu kepada Parti ANC, Samora Machel yang terbunuh dalam satu kemalangan semasa menaiki kapal terbang.

Penglibatannya dalam politik bermula apabila Nelson menyertai Pertubuhan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pada tahun 1943 sebagai seorang aktivisi biasa.

Tidak lama selepas itu beliau kemudiannya dilantik sebagai pengerusi pertama Liga Pemuda (ANC Youth League).

Kongres Kebangsaan Afrika (ANC)

Semangatnya untuk membebaskan golongan kulit hitam daripada penindasan langsung tidak luntur walaupun dipenjara selama 27 tahun. foto-AFP

Pada tahun 1944, Nelson mengetuai Liga Pemuda Kongres Kebangsaan Afrika dimana segala kegiatannya telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Induk ANC.

Beliau dilantik sebagai Ketua Sukarela Kebangsaan untuk program yang dikenali sebagai Kempen Penentangan (Defiance Campaign) pada tahun 1952.

Nelson telah menjelajah ke seluruh negara dalam usaha untuk menaikkan semangat penentangan orang-ramai terhadap undang-undang Apartheid Afrika Selatan.

Pada tahun itu juga, Nelson bersama Tambo mewujudkan badan ekonomi untuk kaum kulit hitam yang pertama di Afrika Selatan, bertujuan untuk membantu kaum kulit hitam yang dilayan secara teruk oleh undang-undang bersifat menindas pihak pemerintah yang dikuasai golongan kulit putih.

Penjara seumur hidup

Parti ANC diharamkan selepas satu protes yang dibuat di hadapan balai polis di Sharpeville pada tahun 1960, dan Nelson Mandela sebagai tokohnya ditangkap dan dipenjarakan pada tahun 1961.

Seramai 69 orang terbunuh ketika protes itu berlangsung, termasuklah lapan wanita dan 10 kanak-kanak manakala 180 yang lain cedera.

Namun semangat perjuangannya tidak padam dengan insiden itu. Sebaliknya beliau meneruskan perjuangannya dan menjalankan aktiviti bawah tanah sambil memimpin organisasi menuntut semangat kebangsaan yang baru.

Umkhonto we Sizwe (MK), sayap bersifat ketenteraan parti ANC dibentuk pada tahun yang sama. Di bawah pimpinannya, Nelson melancarkan sabotaj terhadap pemerintahan dan ekonomi negara.

Setahun kemudian, Nelson meninggalkan Afrika Selatan untuk menjalani latihan ketenteraan di Algeria bersama-sama dengan ahli-ahli MK yang lain.

Setelah dia kembali, dia terus ditahan dengan alasan meninggalkan negara secara haram dan menghasut rakyat untuk mogok dan membuat kekacauan.

Beliau didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama lima tahun bermula Oktober 1962.

Sewaktu dipenjara, beliau didakwa sekali lagi dalam perbicaraan Rivonia, atas tuduhan mahu mengulingkan kerajaan, menyebarkan fahaman komunis dan mengancam keselamatan negara.

Pada mulanya beliau dikatakan akan dijatuhi hukaman mati tetapi ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup selepas dikritik hebat oleh masyarakat seluruh dunia.

Nelson tidak pernah berkompromi dalam prinsip politiknya walaupun sudah bertahun-tahun dipenjarakan dan ia menjadi sumber kekuatan dan inspirasi tahanan yang lain yang juga anggota kumpulan ANC.

Pada tahun 70an, beliau menolak tawaran pengurangan hukumannya sekiranya mengiktiraf daerah Transkei sebagai sebuah penempatan dan bersetuju untuk tinggal di sana.

Manakala pada tahun 80an, beliau enggan menerima tawaran Presiden Botha untuk membebaskannya dari penjara sekiranya beliau tidak meneruskan perjuangannya.

Dalam satu pidatonya yang cukup memukau, Nelson berkata: "Sepanjang hidup saya, saya telah mendedikasikan diri saya dalam perjuangan membebaskan orang-orang Afrika dan mewujudkan satu semangat kebangsaan yang baru.

"Saya berjuang untuk menghapuskan dominasi orang kulit putih dan begitu juga dengan orang kulit hitam. Saya mengidam-idamkan satu masyarakat yang bebas dan demokratik di mana semua orang dapat hidup bersama dengan aman serta mempunyai hak sama rata.

"Selagi saya masih hidup selagi itulah saya akan terus memperjuangkan impian saya ini walaupun saya terpaksa bergadai nyawa."

Beliau dipenjarakan di pulau Robben selama 18 tahun lagi sebelum dipindahkan ke Penjara Pollsmoor di tanah besar Afrika Selatan pada tahun 1982.

Pembebasan dan berakhirnya dasar Apartheid

Berikutan keputusan perbicaraan di Rivonia, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara bertindak mengecam tindakan itu dan kerajaan Afrika Selatan telah dikenakan sekatan dalam hal-hal tertentu termasuklah sekatan ekonomi.

Pada tahun 1980, bekas rakan seperjuangan Nelson, Tambo, yang hidup dalam buangan, melancarkan kempen besar-besaran untuk membebaskannya.

Setelah menolak beberapa tawaran bersyarat rejim Afrika Selatan, Nelson akhirnya dibebaskan pada 11 Februari 1990.

Akibat tentangan hebat parti ANC dan tekanan antarabangsa, Presiden F.W. de Klerk terpaksa akur dan membebaskan semua tahanan politik termasuk Nelson dan juga mengakhirkan pengharaman parti ANC.

Empat tahun selepas dibebaskan, pada 10 Mei 1994, Nelson Mandela dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails