NASIB pelakon Farid Amirul Wu Abdullah yang cukup sinonim dengan watak Detektif Lim menerusi drama bersiri popular Gerak Khas sudah diketahui umum.
Biarpun hukuman yang menyabitkan aktor itu atas kesalahan mencuri dua buah buku di MPH Mid Valley Megamall sudah dijatuhkan semalam, namun pelakon muallaf berusia 44 tahun itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.
"Saya tidak perlu buat sebarang keputusan sekarang. Semua keputusan mengenai kes ini saya serahkan kepada mahkamah.
"Saya sudah dibebaskan selepas ikat jamin sementara menunggu tarikh baru yang ditetapkan oleh pihak mahkamah ke atas kes rayuan ini," kata Farid.
Tambahnya, dia kini sedang menanti tarikh daripada mahkamah untuk rayuan kesnya dihujahkan di Mahkamah Tinggi kelak.
Penangguhan hukuman itu telah dibenarkan oleh mahkamah berdasarkan tiga syarat yang ditetapkan oleh Majistret Mohd Faizi Che Abu, di mana dia dikehendaki mengemukakan permohonan rayuan secara bertulis, membayar jumlah bon jaminan sebanyak RM3,000 dan perlu mendapat jaminan peguamnya bahawa dia tidak akan melarikan diri sepanjang tempoh penangguhan ini.
"Alhamdulillah, setakat petang ini (semalam), segala urusan dokumentasi dan pembayaran ikat jamin sebanyak RM3,000 sudah saya selesaikan.
"Mereka (mahkamah) akan tetapkan tarikh tertentu untuk dengar semula kes ini. Setakat ini, mereka belum putuskan tarikh itu.
"Kini, saya dibebaskan sementara menunggu tarikh yang ditetapkan oleh pihak mahkamah bagi mendengar semula permohonan rayuan yang dikemukan," ujarnya lagi.
Ketika ditanya mengenai masa depan karier seninya, Farid berkata, dia tidak menolak beberapa kemungkinan yang bakal berlaku ekoran keputusan hukuman itu.
"Ada beberapa kemungkinan akan berlaku. Pertama, saya mungkin akan digugurkan daripada drama Gerak Khas jika pihak Bukit Aman memutuskan kes ini telah memberi impak negatif kepada Polis Diraja Malaysia.
"Kedua, mungkin pihak RTM akan menggugurkan terus drama bersiri itu daripada stesen TV mereka dan ketiga, saya perlu menerima apa jua keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi kelak," katanya.
Bercerita lanjut, Farid berkata, dia tidak akan mengundur diri daripada bidang seni selagi masih diperlukan dan mendapat tawaran lakonan.
Namun, seandinya nasib tidak menyebelahi, aktor itu bersedia untuk menceburi bidang perniagaan lain.
"Sekiranya masih ada peluang untuk terus bergiat di dalam industri ini, saya tidak akan undur diri.
"Tapi, sekiranya saya terus digam dan dipinggirkan ekoran kes ini, saya redha dan bersedia untuk ceburi bidang perniagaan lain.
"Saya bercadang untuk memulakan perniagaan yang menjual kitab dan buku-buku agama. Walaupun tidak diketahui ramai, saya sebenarnya aktif bersosial dengan ahli-ahli agama.
"Malah, saya tidak menolak kemungkinan akan bergiat serius menjadi seorang ustaz suatu hari nanti.
"Kini, saya aktif menghadiri kursus dan bengkel agama untuk tujuan ini," katanya penuh bersemangat.
Farid Amirul kelihatan tenang ketika menghadiri perbicaraan kesnya semalam
Menyentuh mengenai hubungan dingin yang melanda Farid dan ayahnya ekoran kes ini, dia berkata, walaupun ayahnya bersikap dingin, sebagai anak dia tetap menghubungi orang tuanya untuk memaklumkan keputusan hukuman itu.
Namun, seperti yang dijangka, hasrat untuk berbual dengan ayahnya tidak kesampaian apabila ayahnya masih enggan menjawab semua panggilan telefon.
Malah, dia mengakui liputan meluas media mengenai kes ini turut mengundang perasaan berbelah bahagi pada keluarganya.
"Bayangkan perasaan saya apabila ayah masih enggan berbual. Lebih menyedihkan, saya terdengar di telefon, ayah berkata kepada ibu, dia tidak mahu bercakap dengan saya kerana telah memalukan keluarga.
"Sebagai anak, saya rasa bersalah dan amat kesal dengan apa yang terjadi. Apatah lagi, menyedari keadaan kesihatan ayah yang semakin buruk kerana mendapat serangan jantung ekoran kes ini.
"Sejujurnya, saya amat rindu untuk berbual dengan ayah semula," ujar Farid dengan nada sayu.
Tambah Farid, kejadian yang berlaku itu telah mengajarnya dua perkara. Pertama, dia dapat mempelajari selok-belok perundangan dan perlaksanaan kerja-kerja di mahkamah dan kedua, dia dapat mengenali kawan sebenar di saat dirinya berdepan masalah besar ini.
"Selain dapat melihat sendiri kerja-kerja perlaksanaan undang-undang dan perbicaraan di mahkamah, kejadian ini telah membuka mata saya untuk mengenal pasti siapa kawan sebenar.
"Kini, setelah berlakunya kejadian ini barulah saya dapat kenal siapa sahabat yang benar-benar ikhlas dan setia di sisi.
"Walaupun ramai yang menyisihkan saya, namun masih ada kawan yang terus setia memberikan sokongan dan dorongan," katanya.
Sebelum mengakhiri perbualan, Farid turut mengakui Datuk Yusof Haslam banyak memberikan sokongan dan perangsang kepadanya sepanjang proses perbicaraan ini.
0 comments:
Post a Comment