SIRI kartun kembar 'Upin & Ipin' kini melangkah setapak lagi dengan penerbitan komik 'Upin & Ipin' secara bulanan buat pertama kalinya.
Watak kartun tempatan ini mula menempa nama empat tahun yang lalu.
Menurut Pengarah Nyla Sdn Bhd, Tunku Maziah Tunku Mukhtar, yang juga penerbit komik tersebut, syarikatnya telah menerbitkan 75,000 naskah komik dan sudah mula dijual sejak semalam.
"Komik berwarna ini akan dijual pada harga RM4.90 di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula semalam. Ianya boleh didapati dari kedai-kedai buku berhampiran.
"Setiap edisi akan memuatkan dua episod siri kartun 'Upin & Ipin' serta beberapa lagi segmen lain yang pasti menjadi tarikan kanak-kanak," kata Maziah dalam satu sidang media majlis pelancaran komik 'Upin & Ipin' di Shah Alam semalam.
"Kami juga sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk memasarkan komik ini di setiap kedai buku sekolah seluruh negara untuk memupuk minat membaca di kalangan murid-murid sekolah rendah," katanya lagi. Maziah juga menjelaskan yang komik ini turut menarik perhatian pengedar buku dari Indonesia.
"Sebelum komik ini diedarkan, seorang pengedar buku dari Indonesia sudah menunjukkan minat untuk memasarkan komik 'Upin & Ipin' ke Indonesia. Dia juga memaklumkan kepada saya yang komik ini pasti laris di sana.
"Oleh kerana kami belum ada lesen untuk memasarkan komik ini ke Indonesia, kami terpaksa menolak permintaan pengedar buku itu," ujar Maziah lagi.
Sementara itu, filem kartun yang menampilkan watak-watak popular 'Upin & Ipin,' dalam ‘Geng: Pengembaraan Bermula,’ sedang dalam proses diterjemahkan ke 11 bahasa termasuk Bahasa Hindi untuk pasaran di India.
Filem itu telah ditayangkan di Malaysia pada bulan Febuari lalu dan mendapat kutipan lebih daripada 6 juta ringgit.
Menurut Pengarah Urusan Les Copaque Productions Burhanuddin Radzi, filem itu akan ditayangkan di 400 buah pawagam di seluruh India pada tahun hadapan.
Manakala siri kartun 'Upin & Ipin' telah mula ditayangkan di Turki dan Kuwait pada bulan Ramadhan lalu.
Kini, siri ini juga telah menambat hati penonton di Asia dan sebagai bukti, siri kartun 'Upin & Ipin' sedang ditayangkan di Disney Channel Asia dalam versi Bahasa Inggeris dan Cina
0 comments:
Post a Comment