MUNGKIN statusnya kini berubah. Namun, bagi pelakon jelita Aien atau nama sebenarnya Nora'Ain Rahmat, dirinya masih Aien yang dulu.
Dia masih insan yang sama seperti mana yang dikenali ramai sebelum bergelar isteri kepada Datuk Arif Ambrose Leonard Ng, semalam.
Biar apa pun panggilan atau sapaan orang kepadanya selepas ini, Aien tidak mahu langsung memikirkan apa-apa mengenai status barunya sebagai Datin itu.
Menurut Aien, gelaran Datin itu hanya sekadar status yang sama sekali tidak membawa apa-apa perbezaan kepada dirinya.
Bergelar Datin atau tidak, status itu langsung tidak pernah difikirkan. Malah, dia mengakui, dia malas untuk memikirkan lebih lanjut mengenai perubahan pada gelaran dirinya.
Tambah Aien, gelaran Datin langsung tidak membuatkan dirinya berasa sebarang perubahan pada taraf diri. Apatah lagi untuk beranggapan taraf dirinya semakin meningkat atau bertambah penting.
Sebaliknya, Aein dengan rendah diri berkata, dia lebih selesa dengan sapaan Aien seperti mana sebelumnya.
"Saya tidak mahu memikirkan tentang status atau gelaran ini sama sekali. Ia bukan sesuatu yang penting. Sama ada bergelar Datin atau tidak, saya adalah Aien yang sama.
"Malah, suami mengenali saya sebagai Aien. Jadi, rasanya tidak perlu untuk saya merasakan taraf dan status diri sudah berubah selepas berkahwin," ujar Aien bersahaja.
Menjawab pertanyaan mengenai perasaannya yang kini bergelar 'ibu segera' selepas menikahi Arif, seorang duda beranak tiga, Aien sekadar membalas dengan hilai tawa.
Menurutnya, dia tidak berasa apa-apa perbezaan dan gembira menerima keluarga baru itu seadanya.
Malah, Aien lebih selesa untuk tidak berbicara lebih lanjut mengenai persoalan itu demi menghormati sensitiviti keluarga suaminya.
"Alhamdulillah, saya sangat gembira namun saya tidak mahu komen lanjut mengenai anak-anak tiri kerana ia agak peribadi. Cuma, apa yang saya boleh katakan di sini, mereka tiada masalah dengan perkahwinan ini," kata Aien ringkas.
Apabila ditanya mengenai jumlah wang hantaran yang dirahsiakan itu, Aien sekali lagi menerangkan, dia terpaksa merahsiakan jumlah wang hantaran perkahwinannya demi menjaga hati kedua-dua belah pihak keluarga.
Menurutnya, bukan dia tidak mahu berkongsi cerita ini, namun setelah berbincang dengan semua ahli keluarga, mereka enggan mendedahkan jumlah itu kerana tidak mahu mengundang sebarang persepsi daripada media mahupun orang ramai.
"Setelah berbincang dengan keluarga, kami putuskan untuk tidak mendedahkan jumlah wang hantaran kerana tidak mahu ia jadi pertikaian orang ramai.
"Seperti kita sedia maklum, apabila seseorang itu menceritakan jumlah wang hantarannya kepada umum, mahu tidak mahu ia pasti akan mengundang pelbagai persepsi daripada ramai pihak.
"Jika jumlahnya tinggi, pasti ada yang menganggap kami riak dan hendak menunjuk-nunjuk, tapi jika jumlahnya kecil pula tidak mustahil orang akan menganggap Datuk ini kedekut.
"Untuk elakkan sebarang persepsi, lebih baik kami rahsiakan sahaja jumlahnya," terang Aien panjang lebar seraya mengakui jumlah hantaran itu hanya diketahui oleh ahli keluarga terdekat sahaja.
Beralih kepada perkembangan kerjaya seninya, Aien berkata, walaupun dia masih menerima banyak tawaran berlakon, dia terpaksa menolak dengan baik kerana komitmennya pada cabang perniagaan yang sedang diusahakannya kini.
Walaupun kini bergelar isteri, Aien sama sekali tidak berhadapan dengan sebarang bantahan atau halangan daripada suami untuk terus berlakon.
Sebaliknya, dia sendiri harus memperlahankan rentaknya di dalam dunia lakonan kerana ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan, suami dan keluarga.
Menyentuh isu bulan madu pula, Aien mengakui, dia dan suami masih belum memikirkan tentang perkara itu. Namun, dia menyimpan hasrat untuk mengerjakan umrah bersama suami pada suatu masa nanti.
"Kalau bulan madu memang kami belum rancang apa-apa, tetapi saya memang teringin untuk menunaikan umrah bersama suami satu hari nanti," kata Aien yang masih belum memutuskan lagi tarikh majlis resepsi perkahwinannya.
Aien, saudari kembar kepada Ekin selamat diijabkabulkan dengan Arif Ambrose Leonard Ng, 41, pada pukul 12.30 tengah hari semalam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dengan sekali lafaz.
Arif merupakan seorang ahli perniagaan keturunan cina yang memeluk Islam pada Jun lalu.
0 comments:
Post a Comment