KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER 2009: Kredibiliti penceramah bebas dan bekas penyanyi rock, Akhil Hayy, kembali bergoncang apabila dikecam oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Laporan muka depan akhbar Harian Metro hari ini menyebut, Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, berkata Akhil tidak layak berceramah dan mentarbiah orang lain disebabkan latar belakang agamanya yang cetek dan mengharapkan populariti sebagai artis semata-mata.
Katanya, bukan itu sahaja, Akhil yang pernah menjadi pengacara sebuah rancangan ilmiah di kaca TV juga tidak pernah diberi sebarang kelulusan berceramah dan pernah ditahan oleh JAIS tidak lama dulu.
"Apa yang kami ketahui, dia (Akhil) pandai bercakap seperti penceramah lain tetapi tidak memiliki latar belakang agama yang sepatutnya dimiliki seorang penceramah agama.
"Bagaimanapun, kami tidak menafikan pengaruh artis membolehkan orang ramai tertarik dan gemar hadir bagi mendengar ceramahnya yang sebelum ini tidak ketinggalan melampiaskan kata-kata sindiran terhadap orang lain," katanya dalam laporan itu.
Beliau berkata, selepas ditahan oleh JAIS kerana berceramah tanpa kebenaran, pihak tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada bekas penyanyi rock itu.
"Kami tak mahu penceramah yang hanya pandai bercakap tetapi tidak ada pengetahuan agama dan apa yang paling membimbangkan, mereka hanya menggunakan logik akal dalam ceramah mereka," katanya.
Mohamed Khusrin berkata lagi, kelemahan Akhil menangani isu rumah tangganya tidak sepatutnya ada bagi seseorang yang ingin menjadi penceramah kerana mereka sepatutnya menjaga tata susila diri mereka. Baginya, Akhil juga suka mengaibkan dan menyindir orang lain dalam berceramah.
"Kita sudah mengetahui latar belakang Akhil dan dan sudah pasti kita tidak akan membenarkan dia untuk mengadakan ceramah di negeri ini (Selangor). Kami tak mahu sebahagian besar daripada ceramah yang diberikan lebih kepada mengutuk dan mengaibkan orang lain sehingga mengabaikan ilmu yang sepatutnya diperoleh mereka yang mendengar," kata Mohamed Khusrin.
0 comments:
Post a Comment