xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Monday, August 3, 2009

Si Tanggang Modem

Kisah Anak Derhaka : “Ah, mak ni, jangan sibuklah. Pergi keluar sana!”

Si Tanggang Moden. Gelaran itu mungkin layak diberikan kepada seorang pemuda keras hati yang tergamak menengking dan menghalau ibunya ketika wanita berusia separuh abad itu cuba menenangkannya ketika dia mengamuk di ruang perbicaraan Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

“Ah, mak ni, jangan sibuklah. Pergi keluar sana!” jerit bekas pembantu restoran, Abu Bakar Musa, 25, sambil merenung tajam ke arah ibunya yang kemudian terpaksa berundur ke luar bilik mahkamah sambil menangis hiba diperlakukan sedemikian oleh anak sendiri.

Sebelum itu, Abu Bakar tiba-tiba naik angin dan mengamuk sebaik Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azahar Mohamed, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya selepas disabitkan kesalahan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun pada 2006.

Selain itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 15 sebatan kerana kesalahan merogol mangsa sama, Syafiqah Mohamad Borhan di Bandar Baru Uda di sini, antara 25 hingga 27 Januari 2006.

Tragedi kejam dan menyayat hati yang menimpa pelajar tingkatan tiga itu mendapat simpati meluas masyarakat negara ini termasuk media massa sebelum mahkamah memutuskan tertuduh bersalah terhadap kedua-dua tuduhan iaitu membunuh dan merogol.

Sebaik hakim memutuskannya bersalah terhadap kedua-dua tuduhan, Abu Bakar yang tidak dapat menerima keputusan itu tiba-tiba bertindak agresif sejurus Azahar memerintahkan mahkamah berhenti bersidang dan keluar dari bilik bicara.

Sebelum itu, Abu Bakar dilihat sebak dan hanya merintih di kandang tertuduh sambil ditenangkan adik lelaki dan ibunya sebelum dia tiba-tiba bingkas bangun dan menengking Timbalan Pendakwa Raya, Ian Shang Kuan Chou Chuen dan Juanita Mohd Said, dengan kata-kata kesat dan berbaur ugutan.

“Aku tak puas hati dengan Timbalan Pendakwa Raya yang ni. Mana dia? Kurang ajar betul kau... Engkau memang nak kena ya? Jaga kau nanti, aku takkan lepaskan kau. Kau tunggulah!” pekiknya tanpa mempedulikan kira-kira 20 hadirin dalam kamar bagi menyaksikan perbicaraan.

Tertuduh diwakili peguam, Norman Fernandez.

Melihat kemarahan Abu Bakar semakin menjadi-jadi, ibunya terus menerpa dan memujuknya supaya bersabar sambil berkata: “Sudahlah, bersabarlah. Apa yang sudah jadi itu, jadilah.”

Malangnya, pujukan ibu tua itu rupa-rupanya seperti menyimbah minyak ke dalam api apabila wanita tidak berdosa itu pula menjadi sasaran maki-hamun anaknya.

Bagi mengelak kejadian tidak diingini, orang ramai termasuk wakil media dan ibu bapa Syafiqah diminta keluar dari bilik perbicaraan.

Kekecohan itu berlarutan kira-kira 10 minit sehingga sekumpulan anggota polis mahkamah terpaksa dipanggil ke bilik berkenaan untuk mengawal keadaan, manakala Abu Bakar masih tidak berhenti memekik dan mencabar Timbalan Pendakwa Raya sambil menendang perabot dan merosakkan harta benda mahkamah.

Sementara itu, bapa Syafiqah, Mohamad Borhan Awang, 51, yang ditemui selepas prosiding itu semalam berkata, walaupun lebih tiga tahun berlalu, kehilangan puteri sulungnya itu masih terasa di hatinya dan isteri, Nora Abu Bakar, 48.

Menurutnya, dia bersyukur kerana kematian Syafiqah sudah menerima pembelaan dan hukuman dijatuhkan terhadap Abu Bakar setimpal serta berpatutan kerana sekurang-kurangnya tidak ada lagi orang lain akan menerima nasib sama seperti anak gadisnya.

“Arwah harapan dalam keluarga kami. Dia akan tetap hidup di hati saya dan ibunya sampai bila-bila,” katanya sebak manakala Nora hanya mampu mendengar sambil mengesat air mata.

Nora yang hadir berbaju kurung kuning serta bertudung hitam kelihatan sebak sepanjang prosiding berlangsung dan tidak henti-henti menyebut nama Allah ketika mendengar hakim membacakan keputusan.

Terdahulu, Nora memberitahu, adik Allahyarham juga mahu mengikuti prosiding semalam, namun hajatnya tidak kesampaian apabila terpaksa bersekolah.

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails