Membeza-bezakan Kasih Sayang Antara Anak-anak SEORANG anak pasti menyedari diri mereka kurang disayangi ibubapa berbanding adik beradik lain. Situasi tersebut amat melukakan hati mereka kerana diperlakukan sebegitu oleh ibubapa sendiri. Melalui layanan, perhatian, kasih sayang, kehendak yang dituruti, anak-anak tahu samada mereka disayangi samada lebih ataupun kurang daripada adik beradik mereka yang lain.
Agama tidak membenarkan ibu bapa membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak sebaliknya mereka bertanggungjawab mendidik dan memberi sesuatu kepada setiap anak dengan adil dan samarata.
Ramai ibu bapa melakukan kesilapan terhadap anak-anak dengan membeza - bezakan kasih sayang terhadap mereka. Perbezaan kasih sayang ini biasanya dibuat atas dasar kecantikan paras, kepandaian dan kepintaran, kesempurnaan fizikal dan mental, kerajinan dan pelbagai kelebihan lain yang mungkin tidak ada pada diri anak-anak yang lain.
Anak-anak yang menjadi mangsa perbezaan kasih sayang biasanya berasa kehilangan tempat berpaut, tempat perlindungan dan rasa tidak diperlukan lagi dalam sesebuah keluarga. Mereka sentiasa memendam rasa dan sering memikirkan tentang kekurangan diri di samping tertanya-tanya sebab-sebab yang membuatkan ibu bapa tidak menyayangi mereka. Anak-anak yang diperlakukan sedemikian akan cuba melakukan sesuatu untuk menarik perhatian ibu bapa mereka. Malangnya setiap tindakan yang dilakukan oleh si anak sering dianggap tidak kena oleh
ibu bapa mereka.
Sebaliknya bagi anak-anak yang mendapat kasih sayang daripada ibu bapa pula akan merasakan diri mereka disayangi. Anak-anak yang merasakan dirinya dilebihkan mungkin bangga dan ego, manakala anak yang kurang mendapat kasih sayang akan berasa iri hati, dengki, rendah diri, benci dan dendam terhadap adik-beradik yang lain termasuk ibu bapa itu sendiri. Permusuhan mungkin akan timbul disebabkan tidak ada penyatuan dan persesuaian jiwa antara adik- baradik seperti menyakiti adik-beradik yang lain, menyorok atau mengoyakkan buku atau pakaian, menuduh orang lain membuat kesilapan yang dilakukannya atau seumpamanya yang boleh menimbulkan kemarahan ibu bapa.
Anak-anak yang meningkat remaja sering menjadi terlalu sensitif dan mempunyai sifat ingin membebaskan diri sekiranya menghadapi tekanan dalam diri mereka. Apabila mereka merasakan diri mereka tidak dikasihi seperti adik-beradik yang lain, mereka cepat membuat penafsiran yang diri mereka tidak diperlukan dan dihargai oleh ibu bapa mereka. Lantaran itu terdapat kecenderungan untuk si anak mengambil tindakan membebaskan diri daripada ibu bapa mereka sama ada keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa atau meninggalkan keluarga untuk mencari kehidupan lain yang dirasakan dapat memberikan ketenangan jiwa kepadanya.
Keadaan anak-anak yang hidup di luar kawalan ibu bapa itu ditakuti akan membawa kepada penyelewengan yang lebih teruk ke arah kerosakan dan kemusnahan yang lebih mencemaskan pada masa depan. Kemungkinan besar jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya mereka akan terjebak ke dalam gejala-gejala buruk seperti menghisap dadah, meminum arak dan lain-lain perbuatan salah laku hingga ke peringkat jenayah.
Sekiranya yang menjadi mangsa perbezaan kasih sayang adalah anak gadis, kerap terjadi keadaan seperti mereka akan mengambil sesuatu tindakan yang agak nekad dengan meninggalkan rumah dan memilih untuk tinggal bersama rakan-rakan, lari dari sekolah, bekerja di tempat- tempat yang tidak sepatutnya pada usia yang terlalu muda dan sebagainya.
Sementara itu, bagi anak-anak yang mendapat kasih sayang yang lebih daripada ibu bapa juga mereka tidak terlepas daripada kesan-kesan negatif yang sering mempengaruhi kehidupan mereka. Selain menjadi manja, suka mengadu dan kurang rasa hormat terhadap adik-beradik yang lain, anak-anak yang mendapat kasih sayang seperti ini kerap kali mempamerkan sikap negatif seperti suka berbangga, ego dan riak, tinggi diri, suka berhias, minat kepada peralatan mewah dan seumpamanya. Sifat-sifat ini di antara lain timbul kerana tindak- tanduk ibu bapa yang memberi layanan yang agak berat sebelah di antara anak-anak mereka.
Ibu bapa harus sedar, kehadiran anak-anak adalah sebagai aset yang perlu dijaga sebaik-baiknya agar mendapat pulangan yang baik apabila mereka tiada lagi di dunia ini. Anak-anak perlu dididik secara sama rata dan dengan penuh kasih sayang. Sikap adil yang ditunjukkan oleh
ibu bapa dalam memberi kasih sayang kepada anak-anak mereka akan membuahkan hasil yang baik. Keadilan yang dipaparkan akan membuka ruang kepada kehidupan sekeluarga yang akan dipenuhi dengan kasih sayang, hormat- menghormati dan sayang-menyayangi.
Untuk mengelakkan sebarang kesan negatif yang mungkin timbul hasil daripada perbezaan layanan antara anak-anak, berikut diperturunkan langkah-langkah positif yang perlu diambil:
Agama menegah ibubapa mengamalkan perbuatan membeza-bezakan kasih sayang di antara anak-anak mereka.
Ibubapa harus menyedari bahawa anak-anak mempunyai perasaan, berjiwa halus, emosi, bisikan kalbu dan curahan nurani. Belajar selami hati dan perasaan mereka ini.
Yakini benar-benar bahawa anak-anak anda adalah unik. Yang cantik adalah unik dan yang hodoh juga adalah unik. Yang pandai adalah unik dan yang kurang menyinar pun adalah unik. Belai dan bangunkanlah ciri- ciri keunikan anak-anak anda itu.
Ibubapa harus bijak untuk melihat dan mengenalpasti potensi yang ada dalam diri anak-anak. Ramai ibubapa hanya mampu melihat potensi lahiriah sahaja. Banyak lagi potensi yang tidak sedia terjelma mempunyai ribuan kemungkinan akan terserlah pada suatu masa nanti. Ibu bapa harus memainkan peranan membantu menyerlahkan potensi anak-anak itu.
Ingatlah bahawa sebarang kesilapan walau sekecil mana pun akan mempunyai kesan dan padah yang tidak mungkin dapat dibayangkan. Sesungguhnya anda melakukan sesuatu kezaliman seandainya ini berlaku ke atas anak anda. Penyesalan pada hari muka tidak ada ertinya lagi.
p/s : kadang-kadang terasa ibu aku pilih kasih sayang di antara anak-anak yang lain tetapi aku redha dan sabar saje apa yang ibu pilih. kalau itu yang membuat ibu gembira, aku tumpang gembira. apa yang penting, aku mahu melihat ibu gembira selalu.
0 comments:
Post a Comment