xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Wednesday, August 26, 2009

Kilang cetak Gedung Kartun diserbu

Selepas menyerbu pejabat Gedung Kartun semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyerbu kilang percetakannya dan merampas plat reka bentuk cetakan majalah humor itu.

Enam pegawai bahagian penerbitan kementerian itu tiba di K Vin Publisher di Seri Kembangan, Serdang jam 11.30 pagi ini dan berada di situ selama hampir sejam.

Mereka juga merampas lebihan helaian-helaian majalah edisi sulung "majalah jenaka alternatif" bawah pimpinan kartunis politik terkemuka Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Haque.

Malaysiakini difahamkan syarikat percetakan itu turut dikenakan amaran oleh pegawai KDN itu agar tidak lagi mencetak majalah yang mendapat permit secara lisan bulan ini.

Serbuan KDN di pejabat majalah itu di Brickfields, Kuala Lumpur semalam mencetuskan minat besar penyokong pembangkang dan juga pembaca majalah humor.

Serbuan itu dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."

Setebal 68 halaman, Gedung Kartun juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

Sebanyak 408 naskhah majalah terbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd dirampas bagi kesalahan bawah Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau penerbitan tanpa permit.

Zunar, sebagai ketua pengarang, berkata rampasan itu "bermotif politik" kerana pihaknya telah mendapat kelulusan permit percetakan secara lisan daripada KDN untuk menerbitkan Gedung Kartun.

"Kita belum dapat surat rasmi tapi sebenarnya sudah ada kelulusan daripada menteri. Pada 14 Ogos, KDN janji untuk hantar surat dalam masa dua atau tiga hari," katanya semalam.

"Sudah menjadi amalan biasa bagi penerbit, bila kita sudah habis mencetak kita akan dapat surat rasmi."

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails