xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Wednesday, August 26, 2009

Analisis Pilihan Raya Permatang Pasir Oleh Nobhisa













Malam tadi saya di Analisis Awani (Astro Awani), berbicara mengenai pilihanraya kecil Permatang Pasir. Bersama-sama saya ialah Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dan Exco Pemuda UMNO, Tun Faisal Abdul Aziz. Hos Suhaimi Sulaiman, Kamarul Bahrin Haron dan Nazri Kahar seperti biasa mewawancara kami bertiga.

Bagi yang tidak sempat menonton rancangan tersebut, saya catatkan beberapa komentar tadi:

1. Sementara saya menerima hakikat bahawa Barisan Nasional berjaya mengurangkan majoriti PAS, namun dilihat dari sudut ratio undi yang diterima oleh kedua-dua parti, tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku. Pada tahun 2008, PAS mendapat 11,004 undi berbanding Barisan Nasional sebanyak 5,571. Ini bermaksud untuk setiap satu undi untuk Barisan Nasional, 1.9 undi pergi kepada PAS. Dalam pilihanraya 2009, PAS mendapat 9,618 undi manakala Barisan Nasional meraih 5,067 undi; iaitu ratio yang sama (1:1.9) seperti pilihanraya sebelumnya.

2. Dari perspektif pemasaran politik, saya melihat ia boleh mengambil tiga bentuk iaitu (a) product-oriented -- sesuatu kempen merasakan ia mempunyai produk (calon, parti dan idealisme) yang baik dan berusaha memasarkan produk tersebut kepada pengundi; (b) sales-oriented -- menganggap bahawa apa produk pun boleh dijual dengan syarat kaedah pemasarannya betul; dan (c) market-oriented -- bersikap reponsif kepada kehendak pasaran / pengguna.

3. Apa yang saya lihat di Permatang Pasir ialah Barisan Nasional masih lagi menggunakan pemasaran berasaskan produk (product-oriented). Ia cuba memasarkan calonnya walaupun berhadapan dengan beberapa isu yang tidak disenangi oleh pengundi (isu pendaftaran Majlis Peguam dan perkahwinan kedua). Nampaknya Barisan Nasional masih belum bersedia untuk menggunakan kaedah pemasaran berasaskan pasaran (market-oriented), iaitu menjual sesuatu yang diperlukan oleh pengundi. Sepatutnya apabila pengundi memberikan isyarat penolakan kepada calon, maka Barisan Nasional harus mengubah strateginya.

4. Saya bertanya apakah mesej teras (core message) yang ingin disampaikan oleh kempen Barisan Nasional kepada pengundi. Apa yang saya lihat ialah ketiadaan mesej teras. Kalau ada, kempen Barisan Nasional gagal berkomunikasi dengan baik mesej ini secara yang mudah dan boleh difahami oleh mereka.

5. Dalam pemasaran politik, seseorang pemimpin adalah jenama. Di Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah jenama politik. Dia sudah lama di situ dan sebati dengan pengundi Permatang Pasir. Apabila bertarung dalam kawasan tersebut, apakah jenama Barisan Nasional yang boleh menyaingi populariti jenama tersebut di situ?

6. Saya juga melihat kegagalan pengurusan krisis. Apabila calon Barisan Nasional dihadapkan dengan dua dakwaan iaitu yang berhubung dengan pengguguran pendaftaran Majlis Peguam dan perkahwinan kedua, sebaik-baiknya dia mengamalkan "Principle of Honesty". Ia adalah konsep asas dalam perhubungan awam. Pertama, akui kesalahan dan terangkan sepenuhnya apa yang berlaku. Usah berselindung dan membiarkan lawan mengorek rahsia, apatah lagi menafikannya. Kedua, nyatakan kekesalan dan sebutkan apakah yang telah dilakukan bagi membetulkan kesalahan tersebut. Dan, ketiga, mohon kemaafan kepada semua pihak terlibat. Sekiranya ini dilakukan, pengundi akan melihat calon sebagai seorang yang jujur dan berintegriti.

7. Saya melihat pendekatan Pakatan Rakyat sebelum dan selepas PRU12 ialah pertentangan kelas. Rentetan strategi pakatan tersebut menjurus ke arah itu. Dalam politik pertentangan kelas, golongan bawahan akan sentiasa menang kerana mereka adalah kelompok majoriti. Saya fikir Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak memahami perkara ini dan sebab itulah beliau memperkenalkan pendekatan "Rakyat Diutamakan." Malangnya, saya tidak fikir ia telah diterjemahkan dalam bentuk pendekatan strategik bagi menghadapi kempen Pakatan Rakyat. Itu adalah antara punca kekalahan Barisan Nasional.

8. Dalam Analisis Awani juga saya menyebut pengundi memilih calon PAS yang tidak berpeluang menjalani proses saringan awam. Oleh kerana tumpuan hanya kepada calon Barisan Nasional, maka calon PAS tidak menjadi fokus. Pengundi tidak berpeluang melihat baik-buruk calon PAS secara mendalam, seperti mana mereka menilai calon Barisan Nasional. Saya sebutkan bahawa dalam pilihanraya ini, proses membuat keputusan ialah melalui kaedah penolakan di mana pengundi menolak calon Barisan Nasional yang dilihat sebagai bermasalah.

Itulah antara perkara-perkara yang sebutkan dalam Analisis Awani tadi.

Akhirnya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada YB Salleh Man. Selepas enam kali mencuba, beliau terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. Manfaatkanlah kesempatan ini untuk berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira sama ada mereka menyokong beliau atau sebaliknya dalam pilihanraya tersebut.

Bagi Barisan Nasional, saya sarankan agar melihat semula kepada kekuatan dan kekurangan parti itu. Reformasi dalam Barisan Nasional dan UMNO bukan saja hendaklah disegerakan, namun yang lebih penting ialah menentukan rakyat dapat melihat dan merasai perubahan itu.

Selain itu, Barisan Nasional hendaklah juga menilai kembali jentera kempennya, khusus proses komunikasi dengan pengundi. Manfaatkanlah data dan ilmu bagi memahami apakah yang dikehendaki oleh pasaran (pengundi). Walaupun Barisan Nasional dan UMNO sering merasakan ia mempunyai produk yang baik, apa yang penting sekarang ialah menyesuaikan produk tersebut dengan kehendak pasaran.

Oh ya, bila nak mulakan? Sekarang, besar kemungkinan selepas ini Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat akan berkampung di DUN Kota Siputeh pula!

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails