xSAM Chat


ShoutMix chat widget

Monday, November 30, 2009

Ferrari World Abu Dhabi taman tema terbesar di dunia


Reka bentuk Ferrari World Abu Dhabi adalah mirip kereta Ferrari GT. -Foto Ferrari World Abu Dhabi

KUASA dominan Ferrari dalam litar perlumbaan Formula One kini diteruskan dalam persekitaran berbentuk taman tema pula.

Ini kerana Ferrari bakal mempunyai taman temanya yang tersendiri di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjelang tahun 2010.

Ferrari World Abu Dhabi (FWAD) adalah taman tema Ferrari yang pertama di dunia.

Lebih membanggakan, ia bakal menjadi taman tema dalam terbesar di dunia menjelang 2010.

Menurut Pengarah Jualan FWAD, Fabien Laurent, idea dan pembinaan taman tema gergasi ini bermula pada November 2006.

Katanya, FWAD yang bertemakan Ferrari dijangka siap pada suku kedua tahun depan.

"Para pengunjung dapat menghayati keghairahan, prestasi, kecemerlangan dan inovasi teknikal Ferrari apabila menjejakkan kaki ke FWAD," kata Laurent ketika ditemui di hotel Centrol, Abu Dhabi baru-baru ini.

Laurent memberitahu, Abu Dhabi dipilih sebagai lokasi ideal FWAD kerana ia terletak di persimpangan Eropah, Asia dan Afrika.

Katanya, sukan pemotoran juga amat diminati di UAE dan dengan pembukaan FWAD, penduduk dari UAE dan lain-lain negara berpeluang merasai Ferrari dengan cara unik dan seronok.

Dari jauh, FWAD kelihatan seperti kereta Formula 1 gergasi kerana ia berbumbungkan kerangka badan kereta Ferrari GT.

Ia berkeluasan 3 dimensi (3D) sebanyak 200,000 meter persegi.

FWAD terletak di Yas Island, bahagian timur laut Abu Dhabi.

Yas Island terletak sejauh hanya 10 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Abu Dhabi, 30 minit dari bandar Abu Dhabi dan 50 minit dari Dubai.

Atau, lokasi FWAD adalah bertentangan dengan litar perlumbaan Formula 1 Yas Marina.

Ia mempunyai logo Ferrari terbesar yang pernah dicipta setakat ini, iaitu 65 meter (m) x 48.5 m.

Jika litar perlumbaan Formula 1 Yas Marina menjadi gelanggang Etihad Airways Formula 1 Grand Prix di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, FWAD pula ialah "litar" untuk anda bersantai!

Ferrari World Abu Dhabi menawarkan pengalaman luar biasa Ferrari kepada pelawat daripada semua peringkat umur.

PENGALAMAN FERRARI

Boleh dikatakan ia memberikan pengalaman Ferrari paling lengkap. Lebih 20 tarikan utama terkini disediakan.

Antaranya, roller-coaster terlaju di dunia dengan kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Anda seolah-olah duduk dalam kereta Formula 1.

Bukan itu sahaja. Alamilah tekanan G-force (kuasa graviti) apabila para penumpang roller-coaster meluncur naik setinggi 62 m melewati bumbung taman tema FWAD ini sebelum menjunam ke bawah.

Selain itu, cuba pensimulasi perlumbaan terkini, sama seperti yang digunakan oleh pasukan pelumba Ferrari.

Anda juga boleh mengembara dalam "enjin" Ferrari 599. Saksikan pergerakan piston serta aliran minyak.

Selepas memahami selok-belok enjin, apa kata mengembara merentasi negara Itali dari udara menerusi kereta Ferrari.

Kanak-kanak yang cenderung berlumba boleh mengikuti kelas pandu dan lumba untuk junior.

Pelatih-pelatih profesionalnya sedia berkongsi ilmu serta kepakaran.

Logo terbesar Ferrari berwarna kuning terletak di atas bumbung.

CITARASA ITALI

Memandangkan Ferrari berasal dari Itali, kedai-kedai makanan dan minuman di FWAD menawarkan sajian bercitarasakan Itali.

Para pengunjung boleh merasai makanan Maranello di dua buah restoran di sini. Ia menjanjikan suasana dan makanan istimewa yang bersifat "Itali".

Makanan antarabangsa turut disediakan.

BELI-BELAH

Selain menikmati banyak makanan dari Itali yang sedap di sini, orang ramai turut boleh membeli-belah.

Tarikan-tarikan utamanya termasuk stor-stor seluas 825 meter persegi dan 1300 meter persegi yang menjual memorablia Ferrari, sesi fotografi dan 'sudut interaktif' untuk kanak-kanak menghasilkan cenderamata sendiri.

FWAD dimiliki Aldar Properties PJSC, sebuah syarikat pembangunan hartanah, pengurusan dan pelaburan terkemuka di Abu Dhabi.

Ia diuruskan oleh Farah Leisure Parks Management L.L.C, satu usahasama antara Aldar Properties PJSC dan ProFun Management Group Inc, syarikat pengurusan operasi dan kemudahan waktu lapang.

Untuk maklumat lanjut, layari ferrariworldabudhabi.com .

KEISTIMEWAAN FWAD

BANGUNAN

- Direka bentuk oleh syarikat seni bina terkemuka Benoy.

- Ketinggiannya ialah 50 m (atau 164 kaki). Lilitan tepi bumbung adalah lebih 2,200 m (7217.8 kaki).

- Ruang dipagari (enclosed space) yang dibuka untuk orang ramai, 86,000 meter persegi (925,704 kaki persegi)

- Lebih 12,370 ton keluli digunakan untuk memperkukuhkan struktur.

- Landskap sekitar bangunan utama adalah lebih 450,000 meter persegi (4,843,800 kaki persegi).

BUMBUNG

- Diperbuat daripada logam dan kaca yang mampu mengurangkan silau dan haba.

- Jumlah keluasan permukaan 3-Dimensi ialah 200,000 meter persegi (2,152,800 kaki persegi).

- Titik tertinggi ialah 48 m. Talang bumbung ialah 6,900 meter.

PERMAINAN

- Direka bentuk oleh sebuah firma reka bentuk terkemuka, Jack Rouse Associates.

0 comments:

Post a Comment

Linkwith

Related Posts with Thumbnails