Seorang lelaki amat terkejut dan gempar bila mengetahui bahawa benjol-benjol berdarah yang tumbuh di kepalanya bukan berpunca daripada gigitan atau kayap, sebaliknya akibat dihurung ulat-ulat yang hidup membiak.
Aaron Dallas, dari Colorado pergi mendapat rawatan perubatan bila benjol-benjol itu tumbuh di kulit kepalanya selepas pulang daripada percutian musim panas di Belize.
Seorang doktor yang ditemuinya menyangka benjol-benjol itu mungkin akibt gigitan agas, manakala seorang lagi doktor menyangka masalah itu berpunca daripada kayap.
Bagaimanapun benjol-benjol itu semakin "hidup" dan mula bergerak-gerak.
Sementara itu, seorang doktor lain yang merawatnya menemui lima larva lalat spesis bot sedang membiak dalam kepala Dallas, di bahagian atas tengkoraknya. Keadaan ini berlaku beberapa minggu selepas dia digigit nyamuk.
"Saya hanya perlu meletakkan tangan di bahagian itu dan saya dapat merasakan ada pergerakan di situ. Pada mulanya saya sangka darah mengalir dalam kepala saya. Saya dapat mendengar pergerakan itu. Saya sangka saya nak jadi gila," kata Dallas yang berasal dari bandar Carbondale di Colorado, Amerika Syarikat.
"Pengalaman saya ini sangat pelik dan dahsyat", katanya. "Bila datang sakit kepala, bisanya tidak tertahan sehingga saya jatuh melutut."
Selepas penemuan itu, doktor berkenaan mengeluarkan parasit tersebut. Isteri Dallas selalu mengusiknya mengenai pengalaman tersebut, namun dia tidak menganggapnya sebagai kisah lucu.
"Orang lain mungkin menganggap perkara ini sangat lucu, tetapi bagi saya ia merupakan pengalaman yang pahit. Saya anggap mereka yang mentertawakan saya itu sangat kejam," katanya.
Jangkitan lalat jenis bot merupakan kejadian biasa di beberapa bahagian di Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
0 comments:
Post a Comment