RAMAI yang tidak sabar melihat personaliti glamor Azwan Ali bersanding di atas pelamin yang pernah digembar-gemburkan sebagai salah satu acara highlight 'majlis penuh rahsia', yang dijadualkan berlangsung pada 13 Januari, pukul 3 petang bertempat di Palace Of the Golden Horses.
Pelamin berwarna ungu lavender itu adalah tajaan dan rekaan Rins Suzana, butik perkahwinan mewah di Taman Permata. Malah dekorasi di Ballroom Unity itu juga ditaja sepenuhnya oleh butik Rins Suzana dan Palace of The Golden Horses.
Azwan yang kelihatan begitu ceria menjelang hari bahagianya tidak mampu menyembunyikan debaran. Tambahan pula kini, dia hanya menghitung hari untuk menempa hari bahagia.
"Rins Suzana akan memberi sentuhan dekorasi yang ala-ala taman firdausi Azwan Ali, bertemakan keindahan dan keasyikan. Bila masuk saja ballroom itu nanti, kita akan rasa seolah-olah berada di dalam taman," kata Azwan yang menjangkakan kehadiran seramai 250 orang tetamu.
Walau masih berahsia, Azwan tidak mampu mengelak bila ditanya, bagaimana riak hatinya ketika ini.
"Tidak ada insan di atas muka bumi ciptaan Allah SWT ini yang tidak akan gembira menjelang hari bahagianya. Tambahan pula, kehadiran bonda tercinta, Hajah Cik Tom Yahya di meja VIP akan menyemarakkan lagi semangat saya," kata Azwan yang akan mengenakan dua pasang busana eksklusif berwarna hijau dan lavender hasil rekaan dan tajaan Michael Shu.
Di sebalik persiapan rapi Azwan menjelang hari bahagianya, ramai juga yang masih sangsi akan kebenaran persandingan Azwan di atas pelamin angannya itu.
Malah, ada yang mati akal memikirkan siapakah bakal isteri Azwan. Tapi bagi Azwan, semua itu tidak penting.
"Sama ada saya bersanding seorang ke atau berdua....di atas pelamin angan saya, semua itu akan terjawab pada hari itu.
"Yang penting, majlis itu akan berlangsung seperti yang dirancang," kata Azwan yang langsung tidak ambil hati usikan nakal kawan-kawan di sekelilingnya.
Mengenai aturcara majlis pula, khabarnya tujuh dulang 'hantaran' akan diarak masuk sebagai penyeri majlis yang indah itu.
"Cuma saya harap, semua yang telah dijemput datang tepat pada waktunya kerana majlis dengan acara yang padat itu akan bermula tepat jam 3 petang. Satu lagi, bersedialah dengan kejutan-kejutan Azwan Ali.....," kata Azwan.
Setakat ini saja, hampir 100 selebriti sudah mengesahkan kehadiran mereka untuk majlis penuh rahsia selebriti terkenal Azwan Ali.
Sambutan yang di luar dugaan ini juga membayangkan yang pengacara sensasi ini masih diterima baik oleh setiap golongan rakan artis.
"Saya bersyukur kerana sambutan di luar dugaan ini adalah tanda awal yang semua cakap-cakap negatif tentang saya bagaikan sudah bernoktah.
"Saya puas dihina tapi rupa-rupanya Allah Maha Adil kerana penghinaan itu bukannya datang dari majoriti. Syukur Alhamdulillah, masih ada yang sayang...." kata Azwan yang tidak menang tangan membuat persiapan akhir menguruskan majlisnya itu.
Namun, kata selebriti terkenal ini, jawapan positif kehadiran selebriti popular ke majlisnya itu tidak bermakna dia hendak mendabik dada, berasa gah atau menunjukkan-nunjuk.
Kata Azwan lagi, apa pun spekulasi yang timbut sekitar majlis penuh rahsia yang juga disebut-sebut sebagai majlis perkahwinan itu, sebenarnya mencipta rahsia sejarahnya sendiri kerana belum ada lagi majlis individu diadakan sebesar dan sehebat ini, baik dari segi perancangan, perbelanjaan dan penglibatan artis.
Menurut Azwan, dua selebriti yang dianggapnya sebagai diva yang paling dikaguminya telah memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke majlisnya itu.
Dua diva tersebut iaitu Datuk Siti Nurhaliza yang khabarnya akan berlepas ke Korea Selatan, pada 2 Januari atas urusan kerja. Dan seorang lagi ialah pengacara terkenal Aznil Nawawi.
"Namun Datuk Siti mendoakan saya berjaya dan Aznil pula ada menitipkan pesanan manja. Kata Aznil, dia bukan tak mahu datang tapi ada mesyuarat tentang show di Putrajaya," jelas Azwan.
Meskipun tanpa kehadiran dua bintang hebat itu, majlis tetap berseri dengan kehadiran bintang-bintang ternama yang lain seperti Mawi, Ekin, Datuk Jalaluddin Hassan, Rosnah Mat Aris, Datuk Aziz Sattar, Betty Banafe, Datuk Paduka Shuhaimi Baba, Rozita Che Wan, Mila, Akim, Farahdiya, Hans Isaac, Fasha Sandha, Rebecca Nur Islam, Amy Search dan ramai lagi bintang popular yang lain.
"Percayalah, majlis itu akan berlangsung dalam suasana bergemerlapan dengan gandingan mantap bintang lama dan baru tanpa prejudis.
"Saya cuba berlaku adil kepada semua yang saya jemput. Dan di dalam ballroom itu nanti, akan hadir juga insan-insan bermakna dalam hidup Azwan Ali. That....you have to wait and see," kata Azwan.
Majlis keramat petang 3 Januari itu juga akan merungkai tujuh rahsia besar lain. Tapi yang pasti, isu perkahwinan hanya satu isu sampingan semata-mata tapi akan terjawab juga pada petang itu.
Azwan juga telah berjaya mendapat penaja-penaja yang hebat untuk majlisnya.
Aksesori lelaki di badan Azwan Ali, ditaja sepenuhnya oleh Habib mencecah RM 200 ribu.
"Di kesempatan ini, saya amat berterima kasih dan terharu kepada semua penaja dan individu-individu yang masih sudi menyokong karier saya.
"Saya tidak mahu mengumumkan nama-nama penaja itu sekarang. Tunggu sajalah pada hari itu. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih pada RTM, TV3 dan Astro kerana mengesahkan akan menghantar kru untuk membuat liputan pada majlis itu nanti," jelasnya.
Acara red carpet akan bergemerlapan tepat jam 2.30 petang dan kesemua 100 artis telah diminta untuk pasang badan dengan pakaian glamor atau dress to kill. Acara akan berakhir pada 4.15 petang," kata Azwan.
Malah sebuah raptai akan diadakan sehari sebelum majlis berlangsung untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
Ketika ditanya adakah wartawan yang pernah mempunyai masalah dengan Azwan turut diundang?
"Kalau apa yang you maksudkan itu wartawan Utusan. Ya, saya turut mengundang wartawan Utusan. Saya telah turun padang 30 Disember yang lalu untuk menemui semua wartawan yang pernah saya menanggung dosa ke atas mereka.
"Alhamdulillah, saya disambut dengan baik dan dilayan seperti biasa. Saya berdoa agar pada 13 Januari nanti, ikatan ukhuwah Islamiyah antara saya dan keluarga besar Utusan akan tercantum semula, dengan izin Allah," kata Azwan dengan penuh harapan.
Sebelum mengakhiri perbualan, Azwan memohon agar semua peminatnya mendoakan kebahagiaannya pada hari itu.
"Doakan majlis saya berjalan dengan sempurna. Semua yang berlaku ini adalah berkat keasyikkan dan keajaiban pulang dari Umrah," kata Azwan.
0 comments:
Post a Comment