xSAM Chat
Thursday, January 27, 2011
Kerajaan BN Akan Sekat Internet
"Cadangan Kerajaan Barisan Nasional untuk melebarkan skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi merangkumi media Internet membuktikan mereka tidak mempunyai komitmen serius terhadap perubahan dan hak asasi manusia.
Sehingga hari ini, ruang Internet adalah lebih terbuka berbanding media arus perdana memandangkan komitmen Kerajaan terhadap Jaminan (Bill of Guarantees) Koridor Raya Multimedia (MSC). Pun begitu, pelbagai jenis tekanan telah dikenakan di Internet termasuk penangkapan blogger, serbuan polis ke atas Malaysiakini pada tahun 2003 dan penutupan Malaysia Today pada 2008.
Kerajaan sudah beberapa kali menggambarkan hasrat untuk menyekat Internet, terutamanya selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008. Contohnya pada tahun 2009, Datuk Seri Utama Rais Yatim mengumumkan rancangan untuk sebuah sistem tapisan Internet, seperti perisian ‘Green Dam’ di China, tetapi membatalkanya selepas tentangan daripada rakyat.
Pengumuman terbaru ini membuktikan bahawa Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak tidak putus asa dalam usaha mereka untuk menyekat hak asasi dan kebebasan politik di Malaysia. Di sebalik manipulasi dan kempen Kerajaan, pengumuman terbaru ini membuktikan BN masih lagi terperangkap di dalam politik lama untuk mengawal dan menekan rakyat.
Sebaliknya, Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingga telah memberikan komitmen untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, memperkenalkan Akta Kebebasan Media dan memelihara kebebasan Internet sekiranya kami dipilih menjadi Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya akan datang. Tidak seperti BN, Pakatan mengiktiraf perlunya membuka ruang media yang sempit di bagi memastikan demokrasi yang segar dan kemakmuran negara. Justeru, kami kecewa dengan sikap BN yang mengambil pendekatan bertentangan dengan mencadangkan untuk melebarkan akta tersebut kepada Internet. Lebih ironis lagi, pengumuman tersebut dibuat sehari sebelum kerajaan diktator di Mesir menyekat akses rakyat mereka kepada Twitter.
Kerajaan menghantar mesej yang salah kepada pelabur-pelabur luar, yang yang sebelum ini tertarik dengan Jaminan MSC. Tanpa ketelusan dan kebertanggungjawaban yang wujud menerusi Internet dan media yang bebas, semua rancangan perubahan – termasuk “NEM”, “ETP” mahupun “GTP” yang diwarwarkan selama ini – akan menjadi sia-sia. Keyakinan terhadap Malaysia, yang sudahpun berada pada tahap yang paling rendah, tidak akan pulih jika Kerajaan terus menerus menyekat dan menghukum sesiapa yang memberikan kritikan yang jujur, tepat dan membina. Kestabilan dan keselamatan negara kita bergantung kepada wacana awam yang lebih terbuka.
KEADILAN menggesa BN membatalkan rancangan ini dan sebaliknya meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi membuktikan mereka benar-benar mahukan perubahan.
Posted by MeLPenang at 12:57:00 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment