LOS ANGELES: Seorang penari yang diberi tempat duduk utama di barisan depan ketika majlis memperingati Michael Jackson pada awal bulan ini dipercayai adalah seorang lagi waris Raja Pop itu yang tidak didedahkan.
Ketika orang ramai memberi penghormatan kepada Michael di Staples Center pada 7 Julai lalu, Omer Bhatti dilihat memakai cermin mata gelap besar dan hanya menundukkan kepala di sebelah adik-beradik penyanyi terbabit.
Ramai selebriti popular lain terpaksa berpuas hati diberi tempat duduk di baris belakang.
Memiliki wajah seiras dengan anak bongsu Michael, Blanket, keistimewaan diberi kepada Bhatti, 25, mencetuskan kemungkinan dia memiliki pertalian rapat dengan penyanyi berkenaan.
Michael, 50, yang meninggal dunia bulan lalu, didakwa pernah mengaku kepada rakannya pada 2004 bahawa Bhatti lahir hasil hubungan sulit singkatnya pada 1984.
Dipercayai, Bhatti cuba menjalani ujian DNA bagi mendapatkan kepastian.
Semalam, keluarga Bhatti di Oslo, Norway berkata mereka enggan menolak kemungkinan Bhatti adalah darah daging Michael.
Sejurus selepas Michael mati, ibu Bhatti, Pia, dilaporkan berkata: “Michael adalah Raja Pop, tetapi bagi kami dia lebih daripada itu.”
Persamaan di antara Bhatti dan Blanket juga ketara - memiliki rambut hitam, bentuk bulu kening dan struktur muka sama.
Siasatan The Sun juga mendapati, Bhatti pernah tinggal sebumbung dengan Michael di Neverland selama beberapa tahun dan bergaul dengan penghuni di situ seolah-olah dia adalah sebahagian daripada keluarga terbabit.
Sebuah rakaman video juga menunjukkan Bhatti - ketika itu berusia 14 tahun - gembira membuka bungkusan hadiah sempena Krismas di Neverland.
Apabila Bhatti dilahirkan, sumber berkata, Michael menghantar dua pembantu ke rumah ibunya di Oslo.
Michael dan Bhatti bertemu kali pertama di sebuah hotel di Tunisia pada 1996.
Dalam pertemuan itu, Michael dikatakan kagum dengan kemampuan Bhatti menari.
Seperti Michael, Bhatti turut mengalami masalah ketagihan dadah dan pernah ditahan pihak berkuasa kerana memiliki kanabis di Norway pada 2004.
Ketika Michael muncul dengan album Invincible pada 2001, penyanyi itu menghadiahkan lagu di dalamnya kepada kawan baik Bhatti, Benjamin Hermansen, 15, yang mati akibat ditikam pengikut kumpulan neo-Nazi. - Agensi
0 comments:
Post a Comment